Sunday, April 18, 2010
Hati kalau sudah bersih...
PENDAHULUAN
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazzali menghuraikan haqiqat qalb, ’aqal, ruh dan nafs. Perkara ini adalah satu sahaja tetapi nama2nya berbeza mengikut fungsinya. Para ulama’ tidak menafikan adanya alam2 rohani dalam kehidupan ini. Bagi golongan yang tidak mengetahui alam2 rohani ini mereka tidak seharusnya terus menyesatkan dan mengkafirkan manusia2 pilihan Allah, yang tembus mata hatinya melihat alam2 yang lain. Sesuatu yang tidak boleh ditanggap oleh mata zahir bukan bererti perkara itu tidak ada.
Seperti mana saya selalu sebut dan bincang dengan kawan2, iceberg itu yang kita lihat, sebenarnya hanyalah 1/10 sahaja. Sedangkan yang di bawahnya masih ada 9/10 yang tersembunyi yang perlu kita kaji dan fahami. Kalau dengan 1/10 kita terus membuat keputusan dan hukuman, itu adalah sangat tidak adil.
Kita perlu luaskan pandangan, melihat sebagaimana helang melihat dari atas. Akan nampak kesemua bahagian. Pandangan, keputusan, tuduhan dan hukuman yang dibuat berdasarkan pandangan sekali lalu, juz’i atau sebahagian sahaja adalah satu kezaliman. Lihatlah secara kulli, kerana dengan melihat secara kulli (keseluruhan) ada wisdom yang tersembunyi. Pandangan secara kulli akan menerobos semua sempadan kataksuban. Akan terpamer rahsia Allah.
LAPISAN HATI SECARA UMUM (GENERAL)
Sebenarnya lapisan2 dan tingkatan alam maknawi tidak terhad kepada tiga atau empat sahaja. Secara dasarnya, bagi Tariqah Naqsyabandiah dan beberapa Tariqah yang lain, mereka membahagikan tingkat2 hati dan rohani manusia kepada 10 lataif. Setiap latifah mempunyai alam rohnya yang tersendiri, alam yang tiada sempadan.
Guru saya pernah menyebut aqal lil ma’qulaat, qalb lil mafhumaat, ruh lil masyhudaat dan sir li al-tajalliyaat....jadi setiap indera zahir atau batin itu mempunyai fungsi yang tersendiri. Makna kata2 di atas secara kasar dapat saya huraikan begini, aqal itu befungsi untuk menanggap perkara logik dan rasional. Kalau tidak logik atau rasional, jangan tolak dulu...biar hati pula tanggap. Hati yang insaf akan mampu faham. Roh pula untuk menyaksikan pelbagai rahsia Allah... dan sir adalah untuk tajalli...(wallahhu a’lam, saya tak mampu nak cerita lebih lagi).
Di antara lataif atau indera dalaman manusia ini seperti yang disebut oleh Imam Rabbani Mujaddid Alf al-Thani al-Sirhindi ialah Qalb, Ruh, Sir, Khafi, Akhfa, Nafs dan beberapa yang lain lagi. 10 lataif ini adalah yang paling tersohor di dalam pengembaraan rohani dan di kalangan para sufi. Sebenarnya ia tidak terhad kepada 10 sahaja, dalaman manusia mempunyai pelbagai fakulti lagi.
LAPISAN HATI MENURUT AL-HAKIM AL-TIRMIDHI (SECARA GENERAL)
Di sini secara sangat ringkas ingin saya sebutkan lapisan-lapisan hati menurut al-Hakim al-Tirmidhi. Mungkin di lain posting akan saya bercerita tentang al-Hakim al-Tirmidhi ini. Harap sahabat tidak tertukar dengan Imam al-Tirmidhi Sahib Jami’ Tirmidhi. Saya tidak berniat berbincang panjang kerana saya tidak pakar dalam selok belok hati. Saya hanya menukilkan perkara basic, apa yang mudah untuk saya sendiri fahami.
Secara umum, hati terdiri daripada 4 lapisan, lapisan paling luar dinamakan sadr, lapisan kedua qalb, lapisan ketiga fuad dan lapisan dalam sekali lubb. Sekiranya kita ambil jantung dan operate, mungkin tidak nampak lapisan2 ini secara zahir. Ia adalah lapisan maknawi. Setiapnya mempunyai fungsi dan kesan berbeza.
Sekiranya ilmu yang kita pelajari secara formal atau tidak formal, ditanggap hanya oleh pandangan zahir, ia mungkin tidak pun sampai ke sadr apatah lagi yang paling dalam iaitu lubb.
Saya begitu sukar mencari makna sesuai untuk sadr, qalb, fuad dan lubb di dalam bahasa Melayu. Justeru saya bercukup dengan bahasa Arab yang lebih sampai maknanya. Kakak saya bernama Noor Albi (cahaya hatiku). Kadang2 kami memanggil kak Albi sebagai kak Qalbi. Albi merujuk kepada lubb yang paling dalam. Sebagaimana di dalam al-Qur’an sering mungulang-ulang ”Ulil Albab” yang bermakna orang-orang yang memiliki mata hati (iaitu hati yang paling dalam). Allah berfirman dalam surah Ali Imran tentang apa yang terdapat dalam penciptaan langit dan bumi, juga tentang pertukaran malam dan siang...kesemua penciptaan ini menjadi ’aayaat kepada Ulil Albab. Menjadi ayat, iaitu menjadi tanda, menjadi bukti kepada golongan yang memiliki mata hati.
Dalam perbincangan yang lalu, saya sudah menyebut tentang ’aayaat Allah. Ayat atau alamat atau tanda atau simbol....iaitu semuanya mampu memberi makna. Semuanya bahasa Allah. Alam ini bahasa Allah.
MENCARI ILMU KERANA ALLAH DAN KERANA SELAINNYA
Sekiranya ilmu yang kita pelajari bermula dengan keinginan atau niat yang ikhlas kerana Allah, kerana ingin mengenali Allah insya Allah...semua ilmu itu akan menghasilkan spark dari lubuk hati. Ia akan bermula dari lubb dan terus keluar ke fuad, qalb dan sadr...kemudian ilmu itu akan terpancar dan terzahir melalui kata2, perbuatan, amalan, tingkah laku dan adab seseorang manusia itu...perkara ini tidak terhad dalam bidang agama. Ia melampaui semua bidang yang benar, bahasa, matematik, akaun, lukisan, muzik, undang2, falsafah, fesyen, pendidikan dan sebagainya. Semuanya akan melahirkan mereka yang kenal Tuhan.
Sebaliknya kalau ilmu dicari atau dituntut kerana matlamat dunia, mencari gelar, pangkat, nama, bertujuan mencari kesilapan orang lain, bertujuan juga untuk menjatuhkan orang lain...nah...akan lahirlah mereka2 yang ilmunya hanya berlegar-legar di sadr...lapisan paling luar. Ia akan tegar, tidak tembus masuk ke dalam. Maka tidak hairanlah mereka2 yang berilmu semakin rakus. Semakin mendabik dada dan tidak punya tawadhuk. Sedangkan semakin dalam ilmu seseorang sepatutnya ia menjadi semakin tunduk. Kerana ia makin nampak keagungan Allah. Tak kira dalam apa jua bidang akan ada orang berilmu yang menyeleweng dan melupakan Tuhan. Tembolok mereka disumbat dengan segala yang bernama dunia (Harta, wanita, tahta).
Teruslah mereka begitu sehingga datang rukun2 tua, mata kabur, gigi gugur, kulit kendur, uban berterabur, masuk kubur. Inna lillahhi wa inna ilaihi raji’un.
Maka tidak hairanlah walaupun seseorang itu mempelajari ilmu agama, dia semakin bongkak. Sekiranya ilmu al-Qur’an dan Hadith, Fiqh dan Usul Fiqh, Usuluddin dan sebagainya dipelajari tidak kerana-Nya, maka lahirlah ulama’ suu’. Ulama perosak agama mungkin tanpa mereka sedar. Lidah dengan lancarnya melontarkan dalil2 Qur’an dan Sunnah sedangkan makna dan kefahaman ayat itu, tidak sedikitpun masuk melepasi kerongkong mereka.
PENUTUP
Maka berhati-hatilah...mari kita pohon doa supaya Allah melapangkan Sadr kita. Rabbishrahli sadri...alam nasyrah laka sadrak....memberi cahaya. Semoga setiap apa yang kita lakukan adalah ikhlas. Insya Allah akan terpancar cahaya dari lubb...dan kita akan diberi kefahaman dalam semua perkara. Sehingga ilmu yang dicari kerana Allah itu akan membentuk peribadi kita menjadi semata-mata hamba-Nya.
Subhanaka la ilma lana illa ma 'allamtana innaka Antal 'Alim al-Hakim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment