Sunday, April 11, 2010
Kitab Perukunan
"Kitab Perukunan” dikenali juga sebagai “Perukunan Besar” karangan Syaikh Abdur Rasyid Banjar. Dalam kitab itu disebut sekali akan kaifiat dan kelebihannya, dan tidaklah aku ketahui akan sumber darjat riwayatnya itu.
Tetapi bagiku, bacaan-bacaan tersebut tidaklah menjadi kesalahan atau bid`ah dholalah untuk diamalkan kerana semua bacaan – bacaan tersebut adalah tsabit pada syarak, cuma kelebihan yang dinyatakan dan waktu atau kaifiyat bacaannya sahaja yang mungkin kita yang jahil ini tidak tahu samada ianya warid daripada Junjungan s.a.w. dalam rupa bentuknya tersebut.
Oleh itu jika kita dituntut untuk berhusnudz dzan, maka husnudz dzan terhadap ulama terdahulu terlebihlah wajar. Tujuan aku nukilkan di sini bukanlah untuk meninggalkan riwayat-riwayat yang shohih berkenaan doa, wirid dan zikir tidur sebagaimana diketahui umum dalam banyak hadits seperti riwayat Imam al-Bukhari berkenaan Ayatul Kursiy yang jika dibaca tatkala hendak tidur dipelihara kita daripada syaitan hingga ke pagi atau hadis berhubung tasbih Siti Fathimah r.anha atau hadits Imam at-Tirmidzi yang menyatakan apabila seseorang hendak tidur lalu membaca istighfar 3 kali nescaya diampunkan akan dosa kesalahannya walaupun sebanyak buih lautan, sebanyak bintang-bintang atau dedaun pohonan, sebanyak pasir halus dan sebanyak bilangan hari dunia.
Berbalik kepada kitab “Perukunan” maka tersebutlah pada mukasurat 25 – 26 demikian itu kitab begini bunyinya: “Sabda Rasulullah s.a.w. kepada sahabat:-Barangsiapa hendak tidur, jika belum membaca Quran 30 juzuk, jangan engkau tidur, maka baca olehmu akan Fatihah 3 kali maka serasa membaca Quran 30 juzuk. Barangsiapa hendak tidur jika belum perang sabilillah jangan engkau tidur, maka baca olehmu قل هو الله احد (al-Ikhlash) 3 kali maka serasa perang sabilillah. Barangsiapa hendak tidur jika belum memerdekakan hamba 40 orang jangan engkau tidur, maka baca olehmu sholawat 3 kali maka serasa memerdekakan hamba 40 orang. Maka barangsiapa hendak tidur jika belum memberi makanan segala mukminin maka jangan engkau tidur, maka baca olehmu Allahummagh fir lil mu`miniina wal mu`minaat wal muslimiina wal muslimaat 3 kali maka serasa memberi makanan segala mukminin.
Begitulah, keterangan dalam kitab “Perukunan”, dan pernah juga aku terjumpa dalam kitab lain riwayat yang sedikit berbeza di mana Junjungan s.a.w. diriwayatkan bersabda kepada Siti ‘Aisyah r.anha ketika hendak tidur, “Wahai ‘Aisyah, jangan engkau tidur sebelum mengkhatamkan al-Quran, menjadikan para nabi mensyafaatimu kelak di hari kiamat, menjadikan semua orang Islam meredhaimu dan sebelum engkau mengerjakan haji dan umrah.” Siti Aisyah r.a. bertanya kepada Junjungan s.a.w.: “Ya RasulAllah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, apa yang engkau perintahkan aku lakukan empat perkara tersebut dalam waktu itu tidaklah dapat aku laksanakan.” Junjungan s.a.w. tersenyum dan menyatakan:- “Apabila engkau membaca suratul Ikhlas 3 kali, maka seolah-olah engkau mengkhatamkan al-Quran, apabila engkau membaca sholawat kepadaku dan ke atas para nabi maka kami akan mensyafaatimu pada hari kiamat, apabila engkau beristighfar untuk sekalian orang mukmin, maka telah redhalah mereka akan dikau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment