Saturday, March 13, 2010

Sedekah untuk naungan di hari Kiamat


Seorang muslim sentiasa khuatir akan nasibnya di hari kiamat kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di Padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.

Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad bertuah kerana Baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapatkan naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti.

Antara keterangan Rasulullah ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia.

Ketika di Padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili. Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata : "Ditetapkan hukuman di antara manusia".

Yazid berkata: "Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini." (Hadis riwayat al-Baihaqi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah).

Dalam hadis lain, Nabi Muhammad s.a.w dengan jelas menyatakan: "Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Janganlah kamu meremehkan sedikit pun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri." (Hadis Riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment