Saturday, April 3, 2010

kembara iman



Kebiasaan manusia akan memilih tempat-tempat yang cantik, nyaman, selesa lengkap dengan segala kemudahan sebagai destinasi pelancongannya. Segala keselesaan yang diinginkan oleh manusia itu tidak akan kita dapati ketika berada di Makkah al-Mukarramah. Buminya tandus, kering kontang, dibakar pula oleh bahang mentari yang terik, dan akan bertambah pula sekiranya kita berada di dalam musim panas.


Walaupun demikian saban tahun Makkah al-Mukarramah dipenuhi oleh ribuan dan jutaan manusia yang datang dari segenap pelusuk dunia. Ini disebabkan tidak lain dan tidak bukan hubungan keimanan yang wujud di sanubari setiap muslim.


Allah s.w.t berfirman:


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى للعالَمِيْنَ. فِيْهِ ءَايَاتُ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إبْرَاهِيْمَ، وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ ءَامِنًا، وَلِلهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً، وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنِ العَالَمِيْنَ.

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk (beribadat) manusia ialah Baitullah diBakkah (mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang jelas (antaranya) maqam Ibrahim, Barangsiapa memasuki (Baitullah itu) amanlah dia, mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah bagi sesiapa yang mampu melaksanakannya. Barangsiapa yang mengingkarinya maka sesungguhnya Allah kaya dari semesta alam. (surah ali Imran 96-97).


Bermusafir ke Makkah seterusnya ke Madinah merupakan pelancongan ibadah. Menjejakkan kaki di bumi ini merupakan nikmat yang tidak terhingga yang direzekikan oleh Allah kepada kita. Bayangkan mak ayah dan datuk nenek kita dahulu yang sebahagian besar dari kehidupannya menghimpunkan duit semata-mata untuk menjejakkan kaki di tanah suci ini. Usaha-usaha yang dilakukan untuk menghimpunkan duit ke tanah suci insyaallah akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah s.w.t.


Daripada Abu hurairah r.h. Nabi s.a.w. bersabda:


لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، ومسجد الرسول صلى الله عليه وسلم ومسجد الأقصى. رواه البخاري ومسلم.

Tidak digalakkan mengembara melainkan kepada 3 masjid iaitu Masjidul haram, Masjid Rasul s.a.w. dan masjidul Aqsa. (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)


Daripada Jabir r.h. Rasulullah s.a.w. bersabda:


صلاة في مسجدي أفضل من ألف صلاة فيما سواه، إلا المسجد الحرام، وصلاة في المسجد الحرام أفضل من مائة ألف صلاة فيما سواه. رواه ابن ماجه. صحيح.

Sembahyang di masjidku ini lebih afdal dari seribu kali sembahyang di tempat lainnya kecuali di Masjidul Haram. Dan sembahyang di Masjidul Haram lebih afdal dari seratus ribu kali sembahyang ditempat lain. -Hadis sahih riwayat ibn Majah

Keberkatan pelancongan ibadah ini ditambah pula dengan pakej yang menarik apabila melawat masjid Quba’ iaitu masjid pertama yang Nabi s.a.w. dirikan ketika sampai di Madinah


Daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi s.a.w. bersabda:


من تطهر في بيته، ثم أتى مسجد قباء، فصلى فيه صلاة كان له كأجر عمرة

Barangsiapa yang bersuci dari rumahnya kemudian datang ke Masjid Quba’ lalu bersembahyang di dalamnya pahalanya seolah-olah mengerjakan Umrah. –Hadis sahih diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Nasaie.


Begitulah betapa besarnya ganjaran-ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang direzekikan oleh Allah menjejakkan kaki di kedua-dua bumi suci ini. Dan kewajipan kita ialah bersyukur kepada al-Khaliq al-Raziq yang mengizinkan kita melaksanakan pelancongan ibadah ini dan hendaklah sentiasa berdoa agar kita diberikan peluang sekali lagi untuk ke sana.

No comments:

Post a Comment