Friday, June 11, 2010

kitab zabur kepada nabi daud



Tuhan telah melebihkan Nabi Daud di atas sebahagian para Nabi lain dengan memberinya Zabur. Firman Tuhan,

"dan Kami telah melebihkan sebahagian Nabi di atas sebahagian yang lain; dan Kami memberikan Daud Zabur." (17:55)

Perkataan Zabur berada di dalam enam ayat al-Qur'an. Satu daripadanya tercatat seperti berikut:

"Sesungguhnya Kami telah menuliskan di dalam Zabur, sesudah Peringatan, 'Bumi akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih.'" (21:105)



Di situ ia dijelaskan bersama perkataan menuliskan. Justeru, Zabur adalah suatu yang padanya ditulis, atau terdapat tulisan, umpama sebuah kitab. Selain daripada Peringatan ditulis padanya, sebuah ayat mengandungi janji Allah iaitu bumi akan diwarisi oleh hamba-hamba-Nya yang salih (baik). Mungkin bermaksud orang-orang di bawah pemerintahan Nabi Daud dan warisnya Nabi Sulaiman baik-baik belaka. Sebab itu kerajaan dua beranak tersebut kuat dan maju.



Jika ingin mengatakan Zabur sebuah kitab maka ia tidak salah kerana perkataan itu dikatakan bermaksud kitab. Jamaknya zubur atau kitab-kitab. Ayat-ayat yang mengandunginya pula adalah:

"Sesungguhnya ia adalah di dalam zubur (kitab-kitab) dahulu." (26:196)

"Apa, adakah orang-orang yang tidak percaya daripada kamu lebih baik daripada mereka itu? Atau, adakah bagi kamu kelepasannya dalam zubur (kitab-kitab)?" (54:43)

"Segala sesuatu yang mereka buat adalah di dalam zubur (kitab-kitab)," (54:52)



Nabi Ibrahim juga difahamkan telah diberi sebuah kitab. Demikian difahamkan daripada ayat berbunyi,

"Naskhah-naskhah gulungan Ibrahim dan Musa." (87:19)

Akan tetapi, kitab Nabi Ibrahim, seperti Zabur, tidak disebut bersama Taurat, Injil atau al-Qur'an.

Nabi Ibrahim dan Nabi Daud hidup sebelum Nabi Musa. Bermaksud sebelum Taurat, iaitu kitab terawal daripada tiga yang disebut tadi. Ayat di bawah menunjukkan Nabi Daud tinggal lama sebelum Nabi Musa:

"Dan Kami memberikan dia (Ibrahim) Ishak, dan Yaakub - masing-masing Kami memberi petunjuk. Dan Nuh, Kami memberi petunjuk sebelum itu, dan daripada keturunannya, Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun - begitulah Kami membalas orang-orang yang berbuat baik." (6:84)



Kitab atau kitab-kitab sebelum Taurat tidak digandingkan dengannya, atau dengan Injil dan al-Qur'an, mungkin kerana tamadun manusia sebelum zaman Nabi Musa belum lagi memerlukan, atau bersedia, untuk menerima sebuah kitab besar seperti tiga yang disebut. Boleh jadi juga kerana kandungan Zabur, misal dalam hukum, tidak serupa mereka, contoh:

"Semua makanan halal bagi Bani Israil, kecuali apa yang Israil mengharamkan dirinya sebelum Taurat diturunkan." (3:93)



Atau, perkara-perkara lain yang wujud dalam pertalian mereka bertiga, dan tiada di Zabur, macam disenaraikan di dalam ayat berbunyi,

"Orang-orang yang mengikuti rasul, Nabi yang ummiy (Muhammad), yang mereka mendapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada kemungkaran, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan mengikuti cahaya (al-Qur'an) yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang yang beruntung." (7:157)



Selain daripada Zabur yang diberi kepada Nabi Daud, Allah juga memberinya:

1. "kerajaan dan kebijaksanaan, dan Dia mengajarnya apa yang Dia mengkehendaki." (2:251)

2. "putusan, dan pengetahuan. Dan bersama Daud, Kami menundukkan gunung-gunung untuk menyanjung, dan burung-burung, dan Kamilah yang membuatnya." (21:79) dan

Dia melantiknya sebagai "khalifah (pengganti) di bumi;" (38:26).



Tidak dinafikan bahawa Nabi Daud adalah seorang yang kuat. Dia telah membunuh Jalut, dan Allah mengajarnya membuat baju besi (bukan ilmu kebal, bila ditikam tak lut!). Petikan daripada al-Qur'an atas perkara bersabit berbunyi,

"Dan mereka mengalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut;" (2:251)

"Dan Kami mengajarnya (Daud) membuat baju besi untuk kamu, untuk melindungi kamu daripada bencana kamu sendiri; maka adakah kamu bersyukur (berterima kasih)?" (21:80)



Sebenarnya, kekuatan Nabi Daud telah disahkan sendiri oleh Allah di dalam sebuah firman bermaksud,

"Bersabarlah atas apa yang mereka mengatakan, dan ingatlah akan hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; dia seorang yang kembali." (38:17)



Ingin bertanya sebelum berhenti. Adakah kekuatan tersebut bermaksud pada fizikal atau imannya? Atau kedua-duanya sekali! Apa pun, dapat dilihat iaitu kekuatan Nabi Daud dan kitab Zabur adalah dua perkara tidak serupa.

No comments:

Post a Comment