Wednesday, June 30, 2010
Wali Allah dan Karamah
Para Wali adalah kekasih-kekasih Allah, golongan yang amat hampir dengan Allah
(muqarrabin). Allah jelaskan dalam satu hadis Qudsi bahawa mereka itu mendengar
dengan pendengaran Allah, melihat dengan penglihatan Allah, dan berkata-kata
dengan perkataan Allah.
Memuliakan mereka bererti memuliakan Allah, manakala menghina mereka bererti
juga menghina mereka bererti juga menghina Allah. Hingga ada ulama berkata,
menghina wali Allah dengan kata-kata dan sebagainya, adalah petanda mati dalam
su'ul khatimah (penamat yang buruk).
Sebab itu juga Allah berfirman dalam hadis Qudsi lain:
"Barangsiapa memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang
terhadapnya". (Riwayat Al Bukhari)
Berkata seorang ulama yang arif dalam tulisannya bahawa: "Wali Allah atau
kalimah jamaknya aulia Allah. Wali juga bererti pemimpin. Boleh juga diberi
erti kekasih yang dilantik oleh Allah. Jadi seseorang ulama yang mencapai
darjat wali Allah ini adalah seorang kekasih Allah yang dilantik oleh Allah
untuk memimpin. Wali Allah adalah orang yang paling bersih, murni lahir dan
batin dan orang-orang suci-Nya".
Ulama Sufi menjelaskan bahawa terdapat bermacam-macam jenis atau peringkat wali
yang dilantik, oleh Allah dengan syarat-syarat perlantikan yang hanya Allah
juga mengetahuinya.
Di bawah disenaraikan antara wali-wali besar yang sebahagiannya bukan sahaja
memerintah negeri dan negara bahkan memerintah dunia:
i. Sahabat-sahabat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam terutama Khulafa’ur
Rasyidin.
ii. Imam mazhab [dalam ilmu feqah dan tauhid] terutamanya imam mazhab yang
empat.
iii. Para mujaddid terutamanya Sayidina Umar Abdul Aziz [mujaddid kurun
pertama] dan Imamul Mahdi [mujaddid kurun ke-15].
iv. Para perawi hadis seperti Imam Bukhari, Imam Termizi dan Imam Muslim.
v. Pengasas-pengasas tareqat seperti Tareqat Naqsyabandiah, Ahmadiah, Qadariah,
Aurad Muhammadiah dan lain-lain.
vi. Ulama-ulama besar sufi seperti Imam Hassan Al Basri, Syeikh Junaid Al
Baghdadi, Syeikh Abu Yazid Bustami, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Imam Al
Ghazali, Syeikh Abu Hassan Syazali, Imam Sayuti, Imam Nawawi, Syeikh Ramli dan
ramai lagi.
vii. Di kalangan wanita, antaranya ialah Sayidah Nafisah dan Rabiatul Adawiyah.
Juga isteri-isteri Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam dan puterinya Siti
Fatimah Az Zahrah
Terdapat wali yang orang tidak kenal kewalian dan kemuliaan mereka disangka
gila. Misalnya Uwais Al-Qarni, yang hidup sezaman dengan Rasulullah sollallahu
`alaihi wasallam, tetapi tidak pernah berjumpa dengan baginda.
Kewaliannya diberitahu oleh baginda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam
sendiri kepada Sayidina Umar Al-Khattab dan Sayidina Ali Abi Talib karamallahu
wajhah. Begitu juga dengan sahabat Huzaifah al-Yamani, walaupun tidak terkenal
dalam bidang kepimpinan tetapi banyak mengetahui rahsia-rahsia kerohanian.
Malah Sayidina Umar radhiAllahu `anhu pun merujuk kepadanya. Demikian lagi
peranan Nabi Khidir `alaihi salam di zaman Musa `alaihi salam.
Wali-wali yang tersembunyi ini pada lahirnya tiada apa-apa keistimewaan. Tetapi
sebenarnya mereka adalah manusia yang sangat penting pada dunia. Sebab-sebabnya
adalah seperti berikut:
1. Do'a mereka sangat makbul. Iaitu permintaan mereka Allah tunaikan. Rintihan
mereka Allah beri perhatian.
2. Walaupun tidak memimpin dan tidak terkenal, namun sikap hidup serta
percakapan mereka menjadi ikutan dan tiruan orang-orang sekeliling. Ertinya,
adanya mereka di satu-satu tempat sudah cukup untuk mengubah akhlaq manusia.
3. Dengan adanya orang-orang seperti mereka di muka bumi ini, maka Allah masih
menurunkan hujan, memberi rezeki dan memberi bantuan kepada semua manusia
termasuklah yang derhaka. Juga Allah pindahkan atau alihkan azab dan bencana
tenggelam atau karamnya bumi ini. Sekurang-kurangnya azab itu dibuat
bertahap-tahap, berperingkat-peringkat hinggalah berpeluang bagi manusia
menyelamatkan diri dan bertaubat. Sedangkan kalau azab itu diturunkan,
sekaligus secara menyeluruh, habislah manusia ini.
4. Ada hadis mengatakan, kerana mereka inilah (orang-orang soleh dan
wali-waliNya) dunia belum dikiamatkan.
Sebagai golongan istimewa di sisi Allah, mereka dianugerahkan penghormatan
dengan berbagai kelebihan dan kemuliaan berupa karamah yang tidak diberi pada
manusia biasa (orang awam). Justeru itu, tidak hairanlah di kalangan
orang-orang ramai akan mengaitkan cerita-cerita tentang karamah apabila
memperkatakan darihal peribadi seseorang wali itu.
Dalam pada itu, orang awam umumnya hanya mengenali karamah-karamah berbentuk
zahiriah atau karamah hissi iaitu kejadian-kejadian luarbiasa yang mencarik
adat dan berlaku pada wali-wali dan dapat dilihat dengan mata kasar.seperti
karamah boleh berjalan di atas air, boleh berasa di dua tiga tempat dalam satu
masa, boleh terbang di udara, boleh bergerak dari setempat ke setempat dengan
sekelip mata dan sebagainya.
Tetapi jarang orang mengetahui terdapatnya satu bentuk lagi karamah anugerah
Allah pada para aulia yang dipanggil karamah maknawiyah. Karamah berbentuk ini
tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi hanya dapat dilihat dan diketahui
oleh orang-orang yang mempunyai ketajaman mata hati.
Keistimewaan karamah maknawiyah antara lain ialah kata-katanya memberi kesan
pada hati pendengar hingga mendorong orang membuat perubahan pada jalan
kebaikan. Malah orang ramai akan ikut tingkah laku dan cakap-cakapnya. Biasanya
karamah bentuk ini lebih menonjol pada para wali yang memimpin umat di samping
dikurniakan juga karamah zahiri atau hissi.
Ini kerana bukan senang memimpin orang ramai kepada kesedaran beragama dan
amalan Islam, lebih-lebih lagi zaman sekarang di mana orang ramai begitu sibuk
dengan kehidupan dunia hatta menilai agama pun berdasarkan kedudukan, dan
pengaruh wang ringgit.
Walaupun terdapat sesetengah orang hebat berceramah di sana sini dan dapat
menghimpun ribuan orang mendengarnya, tetapi sayangnya para pendengar tak boleh
membuat perubahan melainkan dalam soal-soal ibadat khusus sahaja. Manakala
kehidupan seharian mereka tetap bercampuraduk dengan aneka maksiat.
Di sinilah peranan wali Allah yang memiliki karamah maknawiyah yang layak
memimpin umat manusia kerana akhlaq dan tuturkatanya dapat menarik orang ramai
kembali kepada cara hidup Islam tengah-tengah suasana kehidupan yang penuh
munkar. Tidak mustahil berlakunya dengan sekali dia berceramah, berpuluh orang
boleh buat perubahan.
Contoh karamah maknawiyah lagi ialah dapat merasa kelazatan beribadah tanpa
diusahakan bersungguh-sungguh, dapat ditinggalkan maksiat tanpa susah-susah
mujahadah, dapat istiqamah dengan sesuatu amalan seperti boleh berada di tikar
sembahyang beberapa minit lebih awal pada setiap waktu solat fardhu dan
sebagainya.
Atau karamah dapat mempertahankan wuduk untuk tempoh yang lama seperti Syeikh
Abdul Qadir Jailani, Uwais Al-Qarni, Rabiatul Adawiyah dan umum para wali Allah
yang solat Subuh dengan wuduk solat Isyak. Dan mereka sentiasa dalam keadaan
berwuduk setiap waktu dan ketika.
Nyatalah dari kedua-dua bentuk karamah ini, karamah yang lebih utama adalah
karamah maknawiyah kerana ia boleh menyelamatkan tuanpunya diri daripada api
neraka. Ada wali yang dikurniakan satu bentuk karamah sahaja, ada yang dapat
kedua-dua sekali, bahkan ada wali yang berdoa kepada Allah agar tidak
dikurniakan karamah terutama karamah zahiriah kerana takut tidak dapat menjaga
nikmat Allah itu.
Bagaimanapun, kedudukan aulia di sisi Allah tidak ditentukan oleh karamah.
Sesetengah wali tidak ada apa-apa karamah, tapi dia tetap mulia pada pandangan
Allah. Cuma banyak wali dikurniakan karamah kerana melaluinya Allah hendak
kuatkan agamaNya (sebagai hujjah mempertahankan kebenaran) dan untuk memberi
pengajaran atau menambah keyakinan pada diri wali itu sendiri.
Bagi wali yang menjadi pemimpin, sama ada pemimpin negara, masyarakat atau
jemaah, karamah merupakan kemudahan untuk mengatur masyarakat. Ini berlaku pada
beberapa orang wali seperti Tokku Paloh, Tuk Kenali, Syeikh Muhammad Nur
al-Kholidi, Syeikh Said al-Linggi dan Tuan Hussein yang terkenal sebagai
pemimpin masyarakat dan pemimpin jemaah pengajian di Tanah Melayu.
Ada wali yang tidak memimpin masyarakat secara langsung tetapi memainkan
peranan tersendiri sebagai pendidik masyarakat. Seperti kata seorang ulama:
"Pemimpin tidak rasmi ialah orang yang diikuti akhlaq dan sifatnya (sikapnya)
tanpa dia sedar". Kita dapati setiap orang wali itu berperanan mengikut
syakilah (bakat) masing-masing. Secara umum, mereka adalah penguat agama dan
pembawa kesejahteraan pada masyarakat serta umat.
Dalam sejarah, ada wali yang menjadi pemimpin negara seperti Khulafa'
al-Rashidin (Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali), Sayidina Umar al-Aziz,
Muhammad al-Fateh, Sultan Murad (bapa kepada Muhammad al-Fateh), Sultan
Salahuddin al-Ayyubi dan lain-lain. Ada juga wali yang menjadi pemimpin
peringkat negeri seperti beberapa orang di kalangan para sahabat (Sayidina
Bilal, Abu Ubaidah, Sa'ad Abi Waqqas, Sa'id Amir al-Jumahy dan lain-lain),
kalangan wali songo di Tanah Jawa dan lain-lain.
Ada pula wali yang seperti tidak bermasyarakat tetapi kehadiran mereka
menyebabkan masyarakat dapat tumpang barakah, seperti Uwais al-Qarni. Orang
sepertinya terkenal di langit tapi tidak terkenal di bumi hingga riwayat
hidupnya pun tidak diketahui orang. Wali tetap ada di setiap zaman. Setiap
seorang wali yang meninggal, Allah akan menaikkan orang lain menggantikannya
sebagai wali mengikut darjat-darjat tertentu. Cuma antara menonjol atau tidak
menonjol mereka di tengah masyarakat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment