Saturday, June 26, 2010
solat malam
Solat malam memang menjadi satu ujian tapisan dan penanda aras bagi kita mengetahui sejauh manakah kesungguhan menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. . Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberikan kekuatan dan kesoronokan pada kita untuk beribadah pada waktu malam dengan ikhlas dan istiqamah. Sejarah Islam mencatatkan, pemilihan tentera untuk dihantar ke medan perang turut menilai sama ada tentera tersebut mendirikan solat malam atau tidak.
Al-Imam Al-Ghazali r.t. mencatatkan dalam kitab Ayyuhal Walad (Wahai Anakku) tentang galakan untuk bangun beribadah pada waktu malam, seperti berikut:
Wahai anakku yang tercinta,
Seandainya 'ilmu semata-mata itu cukup dengan bagi engkau dan tidak perlu kepada amalan, maka tidak ada faedahnya seruan suci pada tengah malam, seperti disebutkan:
"Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta keampunan? Adakah di sana orang yang bertaubat?"
Diriwayatkan bahawasanya sebahagian daripada sahabat radhiallu 'anhum ajma'in menyebutkan tentang keindahan keperibadian Saidina 'Abdullah bin 'Umar rodhiyallahu 'anhuma di sisi Rasulullah s.a.w. . Lalu Baginda bersabda yang terjemahannya berbunyi:
'Abdullah bin Umar itu sangat baik orangnya. Apakan lagi kalau beliau bangkit solat pada waktu malam.
Dan Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada salah seorang sahabatnya, terjemahannya berbunyi:
Wahai fulan, janganlah engkau terlalu banyak tidur pada waktu malam kerana terlalu banyak tidur pada waktu malam itu menjadikan seseorang faqir di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.
Wahai anakku yang tercinta,
Hendaklah engkau selalu mengingati firman Allah s.w.t.
ومن الّيل فتهجّد به
Surah Al-Israk ayat 79
Maksudnya:
"Dan hendaklah engkau bangkit bersolat tahajud pada sebahagian daripada waktu malam."
Dan firman ini mengandungi makna suruhan.
Dan firman-Nya lagi:
وبالأسحار هم يستغفرون
Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 18.
Maksudnya:
Dan pada waktu sahur mereka sentiasa beristighfar akan Allah.
Dalam firman ini mengandungi makna syukur.
Dan firman-Nya lagi:
والمستغفرين بالأسحار
Surah Ali Imran, ayat 17.
Maksudnya:
(Mereka yang berjaya itu ialah) orang yang selalu beristighfar pada waktu sahur.
Dalam firman ini mengandungi peringatan.
Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang terjemahannya berbunyi:
Ada tiga macam suara yang sangat dicintai oleh Allah, suara ayam jantan yang berkokok, suara orang yang membaca Al-Quran, dan suara orang yang beristighfar pada waktu sahur.
Dan berkata Sufyan Ats-Tsauri (سفيان الثورى) r.a. :
Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menciptakan satu angin yang berhembus pada waktu sahur untuk membawa zikir dan istighfar kepada Tuhan, Raja Yang Maha Perkasa.
Dan beliau berkata lagi:
Apabila bermula malam maka memanggillah suatu pemanggil daripada bawah 'arasy: "Hendaklah para 'abidin segera bangkit." Maka mereka pun segera bangkit dan terus bersembahyang dengan sembahyang banyak.
Dan apabila datang waktu sahur, memanggil pula suatu panggilan:
"Hendaklah para qonitin segera bangkit." Maka mereka pun bangkit dan terus bersembahyang sehingga ke waktu sahur.
Dan apabila datang waktu sahur memanggil pula suatu pemanggil:
"Hendaklah bangkit orang yang mahu beristighfar." Lalu mereka pun bangkit dan terus beristighfar.
Dan apabila fajar sudah naik menyinsing maka memanggillah oleh suatu pemanngil:
"Hendaklah bangkit mereka yang lalai." Lalu mereka pun bangkit daripada hamparan mereka laksana orang mati yang dibangkitkan daripada kubur mereka.
Wahai anakku yang tercinta,
Adalah diriwayatkan dalam wasiat Luqman Al-Hakim bagi anaknya bahawa beliau berkata:
"Wahai anakku yang tercinta, janganlah sampai ayam jantan itu lebih bijak daripada engkau. Ia berkokok pada waktu sahur, sedangkan engkau masih tidur lagi."
Dan sungguh indah sekali gubahan sya'ir di bawah ini:
Sesungguhnya memanggil-manggil pada kegelapan malam burung merpati yang bertinggir di atas dahan kayu. Ia terus sahaja memanggil-manggil sedangkan aku 'asyik dalam tidurku.
Bohong, sebenarnya bohong aku demi Baitullah, seandainya aku benar seorang yang 'asyik (akan Allah) sudah tentu burung-burung tidak akan mendahuluiku menangis.
Aku mendakwa bahawa aku seorang pencinta yang bersangatan dahaga untuk bertemu kekasih, namun kenapa aku masih belum pandai menangis seperti menangisnya binatang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment