Monday, May 17, 2010

adil dan taat



ADIL

Pada suatu hari yang terik seorang musafir mencari tempat untuk berteduh. Ia hendak melepaskan kepenatannya setelah setengah hari perjalanan. Tidak lama kemudian, dijumpainya sebuah pohon beringin yang rindang dan berbuah lebat.

Disandarkanlah tubuhnya yang sudah terasa berat pada batang pohon beringin itu. Sambil ia bersandar ditebarkannya pandangan ke hamparan sawah di hadapannya.Kemudian nampak ia akan buah-buah semangka sebesar bola terhampar di sawah itu.



Melihat pandangan tersebut, sang musafir bergumam sendirian, “Sungguh tidak adil Allah itu. Pohon beringin yang begitu kukuh dan kuat ternyata berbuah hanya sebesar anggur. Sedangkan pohon semangka yang begitu kecil dan rapuh berbuah sebesar bola.”Tidak lama kemudian, tertidurlah dia di bawah pohon beringin itu.

Tiba-tiba ada sebutir buah beringin jatuh tepat mengenai kepala sang musafir. Ia terbangun. Dalam hati ia berkata, “Seandainya saja buah beringin itu sebesar buah semangka entah bagaimana keadaannya jika buah itu jatuh menimpa orang yang berteduh di bawahnya. Sungguh Allah s.w.t Maha Adil atas segala sesuatu.”



Diucapkan istighfar berkali-kali untuk mohon ampun kepada-Nya kerana telah berani mengatakan bahawa Allah s.w.t tidak adil.

Cerita itu mungkin sederhana. Banyak orang pernah mendengar atau membaca cerita tersebut. Namun sayangnya hanya sedikit saja orang yang boleh mengambil hikmahnya.



Sering orang berprasangka kepada Allah swt atas segala kejadian buruk yang menimpanya. Bahkan, kadanag-kadang sampai berani menghujat-Nya dengan mengatakan Allah swt tidak adil hingga kehilangan keyakinan terhadap Allah s.w.t.

Baik atau buruknya segala sesuatu itu hendaknya harus disandarkan pada aturan-aturan yang telah diturunkan Allah s.w.t kepada manusia (al-Quran) seperti yang sudah kita ketahui bersama, manusia adalah makhluk yang penuh keterbatasan dan kelemahan.



Manusia, dalam menilai sesuatu sering kita lebih menekankan pada unsur perasaannya saja. Jika yang dialami manusia tidak sesuai dengan apa yang diharapkannya, timbul segala prasangka-prasangka buruknya kepada Allah s.w.t. Padahal Allah s.w.t dengan jelas telah berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Allah s.w.t Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah 216)



Jadi segala sesuatu yang ada di duniaini pasti memiliki sisi yang baik yang boleh diambil oleh manusia. Allah swt lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hambanya. Tidak sepatutnya manusia mengatakan bahawa Allah swt tidak adil, kerana tidak ada yang boleh melebihi kemaha-adilan Allah s.w.t.

TAAT

Taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.



Setiap orang Islam dikehendaki menumpukan sepenuh taat setia tanpa sedikit pun berbelah bagi kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Taat setia yang penuh ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Selain taat kepada Allah dan Rasul-Nya, tiap-tiap seorang Islam juga diwajibkan taat dan bertangungjawab kepada ibu bapa, pemerintah, guru, ketua atau pemimpin.



Di dalam kitab suci al-Quran, terdapat berpuluh-puluh firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar taat setia mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Demikian juga dengan firman-firman Allah yang memerintahkan manusia agar mentaati ibu bapa, pemerintah, guru dan sebagainya.



Firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar takut dan bertakwa kepada Allah dan mentaati segala perintah-Nya dalam surah Ali Imran ayat 50 dan surah asy-Syu’ra ayat 108, 110, 126, 131, 144, 150, 163 dan 179, iaitu:

“Maka oleh yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.”Selanjutnya firman-firman Allah yang lain memerintah manusia agar taat kepada Allah diiringi perintah agar taat kepada Rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.



Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”



Firman Allah diatas jelas menunjukkan bahawa perintah agar mentaati Allah s.w.t itu adalah perintah yang tegas, tiada sebarang tolak ansur lagi, Jika ada manusia yang enggan mentaati perintah itu maka terpulanglah kepada dirinya sendiri. Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan tanggungjawabnya menyampaikan perintah tersebut dengan jelas dan nyata.



Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anfal ayat 1 yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan diantara kamu serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”



Menurut sejarah Islam, firman Alah di atas diturunkan selepas Perang Badar antara umat Islam dengan kafir yang berakhir dengan kemenangan besar di pihak Islam.

Segolongan pemuda Islam yang turut berjuang menyatakan tidak bersetuju jika harta rampasan perang yang diperolehi itu dibahagi sama. Mereka mahu diberikan semua kepada mereka dengan alasan merekalah yang berjuang mati-matian mengalahkan musuh. Itulah sebabnya firman Allah ini diturunkan.



Di dalam firman tersebut, Allah s.w.t memberitahu dengan tegas bahawa penentuan pembahagian harta rampasan perang itu adalah terserah kepada Allah dan Rasul-Nya. Pemuda-pemuda itu tidak berhak hendak menuntut demikian. Mereka diwajibkan taat kepada perintah Allah. Allah s.w.t juga menasihati mereka agar membaiki perhubungan silaturrahim antara mereka sebagai bukti bahawa mereka benar-benar orang yang beriman.



Firman Allah lagi dalam surah Ali Imran ayat 32 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”
Firman Allah ini juga dengan tegasnya menyuruh manusia mentaati segala perintah Allah dan Rasul-Nya tanpa ingkar walau sedikit pun. Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang ingkar, menderhaka atau kafir.



Firman Allah salam surah Ali Imran ayat 132 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.”

No comments:

Post a Comment