Monday, May 17, 2010

syahadah benteng sakaratalmaut



KEMATIAN adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti menjengah. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Sajdah, ayat 11)



Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawa. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang kufur. Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talqin syahadah iaitu mengajar kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut.



Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan hidup dalam masa sama, iblis dan syaitan juga berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu cicit iblis ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.



Dengan wajah manusia bertopengkan iblis itu, mereka membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT , Rasul, kitab al-Quran dan Hari Kiamat. Namun manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidup sentiasa mengekalkan solat dan puasa tidak akan mudah termakan bisikan syaitan.



Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan malah disunatkan dilakukan orang yang hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.



Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Talkinkanlah (ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan perkataan La Ila Ha Ilallah.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah). Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “Kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”



Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya: “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggal dunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak, dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”



Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan.

Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah, dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah.



Orang yang hadir juga disunatkan menasihatkan pesakit supaya bersangka baik dengan Allah yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ia adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal itu.



Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa’ menyebut: “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa lebih hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”



Hadis daripada Ma’qil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)

Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan daripada mati dalam keadaan su’ al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud: “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan su’ al-khatimah.”



Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ialah adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi

No comments:

Post a Comment