Thursday, May 27, 2010
Rukun Hati
Dalam solat atau sembahyang itu ada berbagai jenis rukun. Ada rukun fi'li atau perbuatan. Ada rukun qauli atau lafaz dan bacaan. Ada rukun qalbi atau hati.
Rukun fi'li termasuklah qiam atau berdiri tegak, ruku, sujud, duduk antara 2 sujud da duduk tahiyyat akhir. Rukun qauli pula termasuklah melafazkan takbiratul ihram, bacaan surah Alfatihah, bacaan tahiyyat akhir dan salam. Rukun qalbi atau hati pula ialah niat.
Namun demikian, 'kerja' hati di dalam solat tidaklah terhenti setakat niat sahaja. Kerja hati dalam solat adalah banyak dan umunya lebih rumit dan lebih berat dari anggota kerja jawarih dan lidah. Termasuk kerja hati ialah tawadhuk, khusyuk dan khuduk walaupun ia tidak termasuk dalam rukun solat.
Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau merendahkan 'sayap' ke hadrat Allah Taala yang disembah. Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan diri hamba yang sebenar-benarnya tanpa ada rasa 'tuan' di dalam hati. Supaya di dalam solat itu hanya ada 2 entiti. Satu ialah Tuhan yang disembah, dipuja dan diagungkan. Kedua ialah hamba yang hina-dina yang menyembah, yang memuja dan mengagungkan Tuhan dan bukan tuan, bukan raja, bukan sultan, bukan Tun, bukan Tan Sri dan sebagainya.
Khusyuk ialah rasa-rasa yang timbul di hati semasa solat. Orang yang khusyuk di dalam solat ialah orang yang mengalami dan merasakan berbagai-bagai rasa hasil dari penghayatan dan penjiwaan apa-apa yang dilafaz dan dibacanya. Rasa-rasa ini boleh jadi rasa-rasa bertuhan seperti merasakan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Mengetahui dan sebagainya atau rasa-rasa kehambaan seperti rasa bimbang, takut, cemas dan gerun terhadap Allah, bergantung harap, rasa cinta , rasa bersalah dan berdosa, rasa hina di sisis Allah dan sebagainya.
Khuduk pula ialah ketaatan dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Merasakan bahawa dirinya adalah hak dan kepunyaan Allah dan terpulanglah kepada Allah untuk berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Menyerahkan dirinya kepada Allah sepertimana bayi yang baru lahir menyerahkan dirinya kepada ibunya. Terpulanglah kepada ibunya sama ada akan memandikannya, membedungnya, menyusukannya ataupun tidak. Si bayi tidak ada apa-apa daya dan kuasa ke atas dirinya sendiri. Ataupun seperti mayat yang menyerahkan dirinya kepada pengurus mayat. Terpulanglah kepada pengurus mayat itu hendak berbuat apa sahaja kepada mayat tersebut. Si mayat tidak ada daya atau kuasa untuk membantah atau menghalang.
Rukun seperti rukun fi'li, qauli dan qalbi seperti niat, perlu dijaga kerana ia bersabit dengan sah atau batalnya solat. Namun begitu, kerja dan amalan-amalan hati yang lain di dalam solat seperti tawadhuk,
khusyuk dan khuduk ini sama pentingnya kerana tanpa amalan-amalan hati ini, solat kita terputus dari Allah walaupun pada zahirnya solat kita sah. Ada hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan-amalan kamu."
Solat tanpa amalan-amalan hati tidak akan dapat mendidik kita, tidak akan dapat membersihkan sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita, tidak akan dapat mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semulajadinya yang suci murni, tidak akan dapat membangunkan insaniah kita dan tidak akan dapat mencegah dari yang keji dan yang mungkar.
Bagi mencapai khusyuk dalam solat selain dari hudhur qalbi dan hadir hati dalam setiap perbuataan dan ucapan dalam solat, maka tafahhum juga merupakan syarat penting bagi mencapai khusyuk itu. Setiap ucapan mestilah difahami segala ertinya, sekiranya tidak memahami setiap kalimah yang diucap pasti solatnya itu menjadi sia-sia. Tidak boleh diterima sama sekali jika ada seorang yang bercakap bersama orang lain dengan ucapan yang dia sendiri tidak faham, tentu dia gagal untuk menyatakan tujuan dari ucapannya itu dan tidak bermakna ia bercakap dengan orang lain.
Betapa pula jika solat yang disifatkan sebagai dialog atau percakapan penting antara seorang hamba dengan Khaliqnya, yang di dalamnya terdapat berbagai pujian dan sanjungan, permohonan serta harapan, tetapi dia sendiri tidak faham apa yang diucapkannya. Sudah pasti ia gagal dalam pelaksanaan solat tersebut. Syarat khusyuk seterusnya ialah "Ta'zim" atau merasa hebat dan gerun terhadap Allah SWT ketika solat. Apabila seseorang itu mendirikan solat dan ketika mengucapkan Allahu Akbar adakah hatinya merasa gerun dan hebat terhadap-Nya?
Rasa gerun itu hanya dapat dicapai dengan makrifat yang mendalam. Sejauh mana ia makrifat terhadap Allah SWT sebagai Khaliq Yang Maha Agung, dan sejauh mana pula ia makrifat atau mengenali dirinya sebagai hamba yang serba kekurangan dan mempunyai berbagai kelemahan. Jika seseorang mengenali Tuhan sepenuhnya dengan segala keagungan sifat yang dimiliki-Nya, serta mengenali siapakah dirinya di hadapan Allah Yang Maha Agung, maka pastilah ketika itu hatinya akan merasa gerun bila menyebut nama Allah dan sedang berdiri berhadapan dengan-Nya.
Sejauh mana pengenalan seseorang terhadap Allah yang mencipta alam dan mengaturnya dengan kecanggihan ilmu-Nya yang tiada tara, sehingga semua berjalan dengan teratur. Ia Maha Berkuasa Maha Bijaksana yang tidak terhingga. Kemudian ia membuat bandingan terhadap dirinya untuk mengetahui sejauh mana pula makrifat atau mengenali dirinya. Walaupun ia seorang raja atau ketua eksekutif sebuah kerajaan, namun pada hakikatnya ia hanyalah seorang hamba yang dikerah oleh Allah SWT ke muka bumi ini. Bukan atas kemahuannya manusia itu menghuni bumi sebaliknya ia diarah dan dikerah untuk berada di dataran bumi untuk suatu jangka masa yang ditetapkan oleh Allah sehingga menjelang qiamat.
Setuju atau tidak manusia pasti dikerah oleh Allah untuk suatu kebangkitan semula di Padang Mahsyar tanpa sebarang hak istimewa. Walaupun di dunia dia seorang raja atau perdana menteri yang memegang kekuasaan pemerintahan sebuah kerajaan, yang kerapkali menggunakan kuasanya mengadakan peraturan dan menguatkuasakan undang-undang yang diciptanya sendiri. Namun ketika itu dia adalah manusia yang terpaksa mengikut kerahan Allah, dibangkitkan tanpa seurat benang. Hasil dari dua makrifat itu barulah ia akan merasa gerun terhadap Allah SWT, sehingga apabila datangnya waktu solat ia akan terasa gementar dan gerun kerana ia akan berhadapan dengan Allah lagi melalui solat yang akan didirikan itu. Ia gerun kerana ia akan melafazkan sumpah setianya lagi, sedangkan sumpahnya yang dilafazkan dalam solat yang lalu masih tidak terlaksana.
Sesungguhnya gerunlah hati orang yang makrifat dengan mendalam terhadap Allah SWT, lebih-lebih lagi setelah mengenali dirinya dengan segala kelemahan yang memerlukan pertolongan dari Allah SWT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment