Monday, May 17, 2010

Kisah nabi Yaakob a.s



NABI Yaakob ialah anak Nabi Ishak bin Ibrahim. Ibunya ialah anak saudara Nabi Ibrahim, bernama Rifqah binti A'zar. Baginda mempunyai saudara kembar bernama Ishu.

Saudara kembar itu kerap tidak sehaluan dan berkasih sayang antara satu sama lain. Ishu mendendami, dengki dan iri hati terhadap Yaakob yang dimanja dan lebih disayang serta dicintai oleh ibunya.



Hubungan mereka bertambah renggang apabila Ishu mengetahui bahawa ibunya melebihkan Yaakob, apabila ingin bertemu bapa mereka. Dengan itu, Yaakob lebih memperoleh berkat dan doa ayahnya.

Melihat sikap saudaranya yang dingin dan kerap menyindirnya, Yaakob mengadu hal itu kepada ayahnya.



Katanya: “Wahai ayahku! Tolonglah beri pendapat bagaimana aku harus menghadapi saudaraku, Ishu yang membenci, berdendam dan dengki kepadaku.

“Dia selalu menyindirku dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Hubungan kami renggang dan tegang, tidak ada perasaan sayang menyayangi.

“Dia marah kerana ayah telah memberkati dan mendoakan aku agar menjadi orang soleh, rezeki yang banyak serta hidup makmur dan mewah.



“Dia menyombongkan diri dengan kedua-dua isterinya daripada suku Kan'aan. Dia mengancam bahawa anak-anaknya akan menjadi saingan berat kepada anak-anakku kelak. Pelbagai ancaman aku terima. Ia mencemas dan menyesakkan hati.

“Tolonglah ayah, berilah aku pendapat bagaimana dapat kami mengatasi persoalan ini serta menyelesaikannya dengan cara kekeluargaan.”



Nabi Ishak yang kesal dengan hubungan dua anaknya itu berkata: “Wahai anakku, kerana usiaku yang sudah lanjut, aku tidak dapat menegah kamu berdua. Ubanku sudah menutupi seluruh kepalaku, punggungku sudah membongkok, raut mukaku sudah berkerut dan aku sudah berada di ambang pintu berpisah daripada kamu dan meninggalkan dunia yang fana ini.

“Aku khuatir bahawa apabila aku menutup mata, gangguan saudaramu Ishu kepadamu akan makin meningkat. Dia secara terbuka akan memusuhi, berusaha mencari kecelakaan dan kebinasaanmu.



Dalam usahanya memusuhimu, dia akan mendapat sokongan dan pertolongan daripada saudara iparnya yang berpengaruh dan berwibawa di negeri ini.

“Maka jalan terbaik bagimu, menurut fikiranku, engkau harus meninggalkan negeri ini dan berhijrah ke Fadan A'raam di daerah Iraq.

Di sana, engkau bermukim dengan bapa saudaramu (saudara ibumu) Laban bin Batu'il.



“Aku berharap engkau dapat dikahwinkan dengan salah seorang puterinya. Dengan itu, kuatlah kedudukan sosialmu serta disegani dan dihormati orang. Hal ini kerana kedudukan mentuamu di mata masyarakat.

“Pergilah engkau ke sana dengan iringan doa daripadaku, semoga Allah memberkati perjalananmu, memberimu rezeki yang murah dan banyak serta kehidupan tenang dan tenteram.”



Nasihat dan anjuran si ayah mendapat tempat dalam hati si anak. Dia segera berkemas menyimpan barang yang diperlukan dalam perjalanan. Dengan hati terharu Yaakob meminta diri kepada ayah dan ibunya ketika meninggalkan rumah.

Yaakob bersendirian ke Fadan A'ram. Dalam perjalanan yang jauh itu, dia sekali-sekali berhenti berehat apabila letih dan lesu. Di satu perhentiannya, dia berhenti kerana terlalu letih. Dia tertidur di bawah teduhan sebuah batu karang besar.



Dalam tidurnya yang nyenyak, dia mendapat mimpi bahawa dikurniakan rezeki, penghidupan selesa dan bahagia serta keluarga dan cucu yang soleh dan berbakti. Dalam mimpinya, dia dikurniakan kerajaan yang luas dan makmur.

Tiba-tiba Yaakob terbangun daripada tidurnya. Dia mengusap matanya, menoleh ke kanan dan ke kiri. Dia sedarlah ia hanya suatu mimpi, namun percaya ia akan menjadi kenyataan. Ia sesuai dengan doa ayahnya yang masih tetap bermain di telinganya.



Mimpinya itu menyebabkan keletihannya hilang. Yaakob seolah-olah memperoleh tenaga baru dan bertambahlah semangatnya untuk cepat tiba ke tempat ditujunya.

Akhirnya Yaakob tiba di depan pintu gerbang kota Fadan A'raam selepas berhari-hari siang dan malam menempuh perjalanan yang membosankan. Tidak dilihat selain langit di atas dan pasir di ba-wah.



Lega hatinya melihat binatang peliharaan berkeliaran di atas ladang rumput, burung berterbangan di udara yang cerah serta penduduk kota berhilir mudik mencari nafkah dan kehendak hidup masing-masing

No comments:

Post a Comment