Saturday, May 1, 2010
syukur
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah nikmat ke atasmu. Seandainya kamu kufur, sesungguhnya azab KAMI amat pedih. (Surah Ibrahim : 7). Seseorang muslim haruslah berhadapan dengan pertempuran Menyatakan Kepujian dan Kesyukuran. Syukur atas nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan Allah kepada hamba-hamba Nya. Antara nikmat yang terbesar yang dianugerahkan Allah buat makhluknya ialah nikmat iman dan Islam. Tidak ramai di kalangan makhluk Allah dianugerahkan nikmat iman dan Islam. Hatta ayah saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib sendiri yang sanggup berkorban harta, kedudukan dan nyawa tidak direzkikan Allah dengan iman dan Islam.
Biasanya apabila seorang muslim mahu menyatakan perasaan syukurnya terhadap Allah Yang Maha Mengurnia ia akan mengucapkan perkataan `al-Hamdulillah’… Ada pun perkataan `al-Hamd` mengandungi makna memuji dan menyanjung perkara yang baik, dengan menyebut-nyebut keelokan-keelokan yang terdapat di dalam perkara-perkara yang baik itu,samada berbentuk ihsan daripada orang yang memuji atau tidak.Syukur tidak berlaku kecuali sebagai mengingati kebaikan pihak yang disyukuri. Allah SWT sendiri memuji nama-namaNya yang baik, sifat sifatNya yang maha agong dan perkara-perkara yang terdapat di akhirat dan juga di dunia.
Firman Allah SWT:
(AL-Quran:ayat 1 surah al-An`am).
Ertinya:
`Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi,dan menjadikan gelap dan terang,dalam pada itu,orang orang kafir menyamakan(sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.`
(Al Quran: Surah Saba:1)
Ertinya:`Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,dan bagi Nyalah juga segala puji di akhirat, dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana,lagi Maha mendalam pengentahuan Nya.`
(Al-Quran:Surah Fatir:1)
Ertinya:`Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi,yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat, Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.`
Syukur tidak berlaku kecuali terhadap pemberian nikmat. Kedudukanya lebih khusus berbanding puji. Ia berlaku dari sudut hati, anggota dan lisan. Kata seorang ahli hikmah:
`Tidak aku perolehi nikmat daripada tangan manusia kecuali daripada tiga perkara ia itu daripada tangannya, lidahnya dan hatinya.
Kiasnya, Allah ada berfirman dalam Al Quran surah Saba` ayat 13:
Ertinya: ‘Golongan jin itu membuat (untuk Nabi Sulaiman) apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu kami perintahkan): `Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!` Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKU yang bersyukur.`
Adapun puji berlaku dengan hati dan lisan sahaja. Pandangan dari sudut ini Syukur lebih umum dari segi jenisnya, menekala puji lebih umum dari segi sebab sebabnya. Oleh itu timbul kata-kata, `Segala puji bagi Allah itu adalah kepala segala syukur. Sesiapa yang tidak memuji Allah adalah tidak bersyukur kepadaNya. Demikianlah sebab hadith Nabi (Dalam al-Sahih) ada mengatakan bahawa sabda Baginda:
`Sungguhnya Allah redha hamba yang memakan satu suapan makanan, kemudian memujiNya dan meminum satu teguk minuman, kemudian memujiNya’.
Abu Ali Aruzbariz bersyair:
Jika semua anggotaku ada berlidah memuji Mu kerana kurnia mu, nescaya tiap tiap nyanyianku itu mendatangakan kurniaan baru, tidak perlu lagi melagukan pujian padamu
(Maksud:Kerana ubudiah memuji tidak akan terputus). Sebab tiap-tiap kurniaan daripada tuhan mewajibkan kesyukuran yang tidak akan habis.
Abul Hussein An Nuri mengatakan:
`Tuhanku, aku bersyukur kepada Mu bukanlah dengan itu terbalas cinta mu terhadapku tetapi ialah supaya dikatakan kepadaku `Ia bersyukur dengan kurniaan Tuhan`. Setiap detik yang aku gunakan kerana Mu telah menjadi ingatan ku kerana inilah khazanah syukur yang terakhir keserunokan nikmat mengingati Mu.
Adalah menjadi kewajiban ke atas setiap muslim menyatakan kesyukuran ke atas nikmat yang diperolehi atas dua sebab, iaitu :
a. Agar nikmat yang diperolehi dikekalkan Allah ke atasnya.
b. Agar Allah SWT mengurniakan nikmat-nikmat yang lain yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT lebih mudah.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah nikmat ke atasmu. Seandainya kamu kufur, sesungguhnya azab KAMI amat pedih. (Surah Ibrahim : 7)
Nikmat Allah SWT ke atas hamba NYA ada 2 iaitu :
a. Nikmat dunia yang terkandung di dalamnya :
i. Nikmat berbentuk manfaat
1. Perawakan yang sempurna ( sihat tubuh badan, sempurna sifat )
2. Mengecapi pelbagai kesenangan fizikal seperti makan, minum, pakaian.
ii. Nikmat berbentuk perlindungan dari mudarat.
1. Allah memberi perlindungan dari wabak dan bala
2. Allah meindungi dari anasir-anasir yang mengundang kemudaratan
b. Nikmat berbentuk agama
i. Nikmat mendapat taufik dari Allah SWT
ii. Nikmat pemeliharaan dari Allah yang mengancam dari segi dunia dan akhirat.
Inilah antara nikmat-nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Maka sayugialah hendaklah kita mengucapkan puji dan syukur atas nikmat NYA dan jangan sesekali kita mengengkari dan kufur atas nikmat NYA.
Nikmat ALLAH yang paling agung dan paling mulia pernah dianugerahkan kepada makhluk ciptaan-NYA yang bergelar manusia ialah nikmat iman dan Islam. Tidak ramai diantara kita manusia ini mendapat nikmat iman dan Islam. Nikmat iman dan Islam ini hanyalah untuk manusia pilihan ALLAH.
Di zaman Rasulullah SAW, perjuangan Rasulullah SAW mendapat sokongan dan perlindungan daripada Abu Talib, ayah saudara Nabi sendiri. Abu Talib pernah mengisytiharkan, andai sesiapa hendak membunuh Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib, maka hendaklah mereka membunuh dirinya terlebih dahulu. Begitulah setia dan sayangnya Abu Talib kepada Rasulullah SAW. Namun ALLAH tidak merezkikan Abu Talib dengan nikmat iman dan Islam. Abu Talib mati sebagai seorang yang tidak beriman. Namun ALLAH memberi jaminan bahawa Abu Talib akan menerima azab paling ringan di neraka iaitu dia akan dipakaikan terompah dari api neraka sehingga mendidih otaknya.
Di zaman Rasulullah SAW juga kita melihat, Saidina Omar Al Khattab.
Sebelum pengIslamannya, Omar merupakan salah seorang yang amat kuat menentang perjuangan Rasulullah SAW. Nama Muhammad tersenarai teratas dalam senarai orang yang ingin dibunuhnya. Sewaktu dalam perjalanannya untuk membunuh Rasulullah SAW, dia diberitahu bahawa adiknya telah memeluk Islam. Dengan perasaan marah dia mengubah haluannya ke rumah adiknya. Pertengkaran kecil berlaku. Tetapi hati Omar Al Khattab menjadi lunak tatkala mendengar adiknya membaca Surah Taha ayat 1 hingga 8 :
[1] Ta Ha
[2] Kami tidak menurunkan Al Quran kepada mu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
[3] Hanya untuk menjadi peringatan kepada orang-orang yang takut melanggar perintah ALLAH
[4] (Al Quran) diturunkan dari (ALLAH) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5] Iaitu (ALLAH) Ar Rahman yang bersemayam diatas arasy.
[6] DIA-lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada dibawah tanah basah di perut bumi.
[7] Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonan mu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya ALLAH mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.
[8] ALLAH ! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan DIA, bag NYA-lah segala nama yang baik.
Terbuka hati Omar Al Khattab untuk menerima Islam dan beriman dengan ALLAH dan Rasul-NYA. Begitulah penyayangnya ALLAH. Hak ALLAH untuk menganugerahkan nikmat iman dan Islam kepada makhluk ciptaan-NYA.
Di zaman Rasulullah SAW juga kita temui kisah Saidina Hamzah. Saidina Hamzah sebelum beriman dan memeluk Islam, kerjanya saban hari ialah berburu singa di padang pasir. Celik mata di dinihari, dia keluar dari rumahnya menuju ke tengah gurun padang pasir untuk memburu singa. Petangnya dia kembali ke kota Mekah bersama hasil buruannya dan dijual kepada mereka yang ingin membelinya. Kemudian dia kembali ke rumah ke sisi keluarganya.
Begitulah rutin kehidupan Saidina Hamzah. DIa tidak ambil pusing apa Muhammad nak kata tentang iman dan Islam. Dia tidak ambil pusing tentang hasrat kafir Quraisy untuk membunuh Muhammad, anak saudaranya. Bagi dirinya, dia hanya berminat untuk memburu singa dan menjual hasil buruannya di pasar. Namun jauh di lubuk hatinya mengakui bahawa anak saudaranya itu menyeru kebenaran.
Pada suatu petang, keadaan telah mengubah segala-galanya. Ketika itu, Hamzah baru pulang daripada memburu. Beliau terfikir untiuk singgah di Kaabah sebelum pulang ke rumah. Tiba-tiba beliau terdengar suara memanggilnya.
"Wahai Abu Amarah! Wahai Abu Amarah!"
Abu Amarah adalah nama lain yang sering digunakan oleh orang ramai apabila memanggil Hamzah.
Hamzah berpaling ke belakang. Beliau melihat seorang wanita berlari-lari ke arahnya. Wanita itu ialah hamba Ibnu Jud’an, seorang pembesar Quraisy yang kaya dan terkenal dengan sifat pemurahnya.
"Wahai Abu Amarah! Abu Jahal telah memarahi Muhammad dan memukulnya di Kaabah. Beliau telah mencurahkan tanah di kepala baginda di hadapan bangsawan Quraisy,"kata wanita itu sambil tercungap-cungap.
Hamzah melihatnya dengan perasaan gelisah. Beliau mula naik marah.
"Di mana Muhammad sekarang ?" tanya Hamzah .
"Muhammad telah pulang ke rumahnya. Baginda sungguh sedih dan dukacita,"jawab wanita itu.
Hamzah tidak dapat mengawal perasaannya. Tanpa membuang masa, beliau terus menuju ke Kaabah. Di sana, beliau mendapati Abu Jahal sedang berkumpul bersama-sama pemuda Quraisy yang lain.
Hamzah tidak berkata walau sepatah pun. Beliau terus mengeluarkan sebilah anak panah lalu melepaskannya ke arah Abu Jahal. Anak panah tersebut mengenai muka Abu Jahal. Darah mula mengalir keluar.
"Inilah balasan terhadapmu, Abu Jahal!" herdik Hamzah. "Kenapa engkau mencerca dan memukul Muhammad?Adakah engkau lupa bahawa datuknya Abdul Mutallib adalah ketua kaum Quraisy dan bapa saudaranya Abu Talib adalah saudaraku yang juga pemimpin kamu? Adakah engkau lupa semua ini sehingga engkau memukul dan mencercanya serta mencurahkan tanah ke atas kepalanya?"
Abu Jahal tergamam denagn perkara yang tidak disangka-sangkanya itu. Beliau menjadi takut lalu berteriak, "Wahai Abu Amarah, sesungguhnya Muhammad bukan dari agama kita! Mengapakah engkau mencederakanku dengan anak panahmu dan menolong seorang yang bukan dari agama kita?"
"Wahai Abu Jahal!" kata Hamzah dengan lantang. "Mulai saat ini, aku menganut agama Muhammad…Aku memeluk Islam!"
Kaum Quraisy berpandang-pandangan antara satu sama lain. Mereka terkejut dan tertanya-tanya dalam kebimbangan. Sebahagian daripad mereka berkata, "Celaka! Ini kerugiaan besar. Pengislaman Hamzah adalah kekuatan besar yang akan menolong Muhammad dalam dakwahnya serta melemahkan kita!"
Itulah yang terjadi! Hamzah adalah seorang lelaki yang berani lagi unggul. Beliau telah meisytiharkan keislamannya di hadapan kaum Quraisy, sedangkan pada waktu itu, sesiapa yang diketahui memeluk agama Islam akan sentiasa terdedah kepada penyiksaan pembesar-pembesar Quraisy.
Tiga scenario :
Scenario pertama ; Abu Talib yang mempertahankan perjuangan Rasulullah SAW, tetapi tidak direzekikan dengan iman dan Islam.
Scenario kedua ; Saidina Omar Al Khattab, orang yang pada peringkat awalnya mempunyai cita-cita tinggi untuk membunuh Rasulullah SAW, tetapi ALLAH rezkikan dia dengan nikmat dan Islam.
Scenario ketiga ; Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib, orang yang duduk di atas pagar. Tidak menyokong dan tidak juga menentang perjuangan Rasulullah SAW. Tetapi ALLAH rezkikan dia dengan iman dan Islam.
Oleh itu syukurilah nikmat iman dan Islam, agar ALLAH akan tambah nikmat iman dan Islam dengan nikmat-nikmat yang lain seperti rasa kehambaan, keikhlasan dan lain-lain nikmat yang akan lebih menghampirkan diri kita kepada ALLAH. Jangan pula kita kufur, kerana ianya akan menyebabkan nikmat iman dan Islam tersebut di cabut dari dalam diri kita.
Timbul pula persoalan; Bagaimanakah hendak disyukuri nikmat yang telah diperolehi ?
Mudah sahaja, gunakanlah nikmat yang diperolehi untuk mentaati Allah dan menjauhi larangan NYA. Jangan sesekali menggunakan nikmat yang sedikit ini untuk melakukan perkara-perkara yang mengundang dosa.
Andai kita beroleh nikmat, maka segeralah kita bandingkan nikmat yang kita perolehi dengan nikmat orang lain yang beroleh nikmat yang lebih besar. Agar nanti kita tidak berasa ujub dan riyak. Gunakanlah nikmat yang diperolehi untuk mentaati Allah dan Rasul NYA. Juga gunakanlah nikmat tersebut untuk mendidik diri, keluarga dan masyarakat. Agar nanti akan lahir sebuah masyarakat yang saling pesan memesan kepada kesabaran dan kebajikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment