Sunday, May 16, 2010

PEMURAH DAN AKHLAK YANG BAIK



Allah berfirman dalam hadith qudsi :

“ Ini adalah agama yang telah Aku redhai untuk diriKu sendiri, dan tidak dapat dijalankan kecuali mereka yang pemurah dan berakhlak yang baik. Kerana itu muliakanlah dengan kedua sifat itu selama kamu menganutnya.”

( Hadith qudsi riwayat Sumawaih,Ibnu ‘Adi ‘Uqaili, Kharaith, Khatib,Ibnu ‘Asakir dan Rafi’i dari Anas r.a )



Allah s.w.t telah memilih agama Islam untuk dirinya sebagai agama yang diredhaiNya. Kerana itu Allah tidak akan menerima dari hambaNya selain dari agama Islam itu, sesuai dengan ayat al-Quran berikut :

“ Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

( Surah Ali-Imran : 85 )



Pelaksanaan orang yang menganut agama Islam akan dapat dilihat dalam kehidupan yang pemurah dan berakhlak baik. Penganutnya diharapkan menjaga dan memelihara kedua sikap itu dan meningkatkannya selama hayat di kandung badan .

Ali bin Husin berkata : “ Orang yang mengeluarkan hartanya kerana diminta,tidak termasuk dikalangan orang yang pemurah. Yang disebut pemurah ialah mereka yang menunaikan hak-hak Allah atas kemahuan sendiri dan taat kepada Allah, tanpa tekanan ataupun harapan untuk ucapan terima kasih.”



Orang bertanya kepada Hassan bin Ali bin Abu Talib,mengenai perbezaan erti perkataan “karam” (sifat pemurah), “muruah” (perikemanusiaan) dan “najdah” (bantuan). Beliau menerangkan : “ Pemurah ialah menderma sesuatu yang baik dengan ikhlas dan sukarela sebelum diminta dan memberikan makanan pada masa senang atau kelaparan serta berkasih sayang kepada peminta dengan memenuhi permintaannya .”



“ Maruah ”ialah sikap memelihara agama, diri dan jiwa serta memberikan layanan yang baik dan ramah kepada tetamunya serta bersikap baik dan bergegas memberikan bantuan, walaupun hati merasa enggan melaksanakannya .

Adapun “najdah” ialah membela tetangga dan tabah bersabar pada tempatnya .



Seseorang alim besar dari kalangan tabi’in bertanya kepada Hasan Basri tentang “sakha” (sifat pemurah), “hazm” (bijaksana) dan “israf” (boros). Beliau menjawab : “Sakha” bererti bermurah hati dengan harta dan yang ada padanya kerana Allah s.w.t semata-mata, “hazm” bererti menahan harta yang ada padanya kerana Allah s.w.t semata-mata; manakala “israf” bererti menginfakkan harta dan yang ada padanya demi cita-cita untuk menjadi pemimpin .”



Ada pula yang bertanya kepada Sufyan bin Uyainah seorang alim besar, ahli hadith dari kalangan tabi’ tabi’in tentang “sakha”. Beliau menjawab : “ sakha” bererti berbuat baik kepada handai taulan dan bermurah hati dengan harta .”

Sifat pemurah termasuk sifat yang mulia, dan menjadi akhlak para Nabi.. Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia paling pemurah, paling besar rasa kemanusiaannya dan [aling ikhlas dalam memberikan bantuan. Tidakpernah timbul rasa takut papa, pemberiannya tiada henti-henti bagai angina hembus dan tidak mengharap balasan. Baginda pernah bersabda :



“ Orang pemurah itu dekat kepada Allah s.w.t, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga, jauh dari api neraka. Manakala orang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat kepada api neraka .”

( Al-Hadith )



Mengenai akhlak yang baik ( husnul khuluq ) Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik .” ( Al-Hadith )

“ Yang paling banyak dimasukkan ke dalam syurga ialah orang yang bertakwa dan berakhlak baik .” ( Al-Hadith )

“ Keimanan seorang mukmin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya .”

( Al-Hadith )



“ Dengan akhlak yang baik seorang hamba Allah pasti akan mencapai darjat orang yang berpuasa yang mengerjakan sembahyang malam .” ( Al-Hadith )

Apakah yang dimaksudkan dengan “husnul khuluq” itu? Hasan Basri menyatakan bahawa “ husnul khuluq ” bererti sifat pemurah, suka memberi dan sanggup menangung segala risiko .



Sya’bi seorang alim tabi’in besar dan ahli hadith dan orang warak yang terkenal, mengatakan bahawa “husnul khuluq” bererti suka memberi serta ramah-tamah .

Abdullah Ibnu Mubarak seorang ahli hadith yang sangat disegani pada masanya menyatakan bahawa : “ husnul khuluq” bererti manis muka, memberi yang baik dan menahan segala gangguan .”



Imam Ahmad bin Hambal menyatakan bahawa “husnul khuluq” bererti tidak pernah marah ataupun berdendam. Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa “husnul khuluq” bererti dapat menanggung risiko segala perilaku dan tindakan orang lain terhadapnya .

Sebahagian ahli ilmu menyatakan bahawa “husnul khuluq” bererti :

1. Menahan marah kerana allah

2. Menampakkan muka manis dan ramah tamah kecuali kepada orang yang melakukan kemungkaran dan jahat.

3. Menegakkan batas-batas ketentuan Allah

4. Memaafkan orang sesat tanpa sengaja kecuali apabila mahu mendidiknya

5. Menghindarkan gangguan terhadap kaum muslimin dan kaum kafir yang ada dalam perlindungan pemerintah Islam, kecuali usaha untuk mengubah kemungkaran dan menyelamatkan orang yang teraniaya tanpa melebihi batasan yang dibenarkan .



Setiap muslim diharapkan dapat melaksanakan “husnul khuluq” dan “sakha” sehingga kita sekalian selalu berakhlak luhur dan menjadi syuhada `alan nas .

Kita mengharapkan dari Allah Rabbul ‘alamin agar kita dibekali “husnul khuluq” dan “sakha”…Amin..

No comments:

Post a Comment