Sunday, May 16, 2010

ZIKIR SETELAH SOLAT SUBUH



Dari Jabir bin Samurah : Adalah Nabi s.a.w apabila solat Subuh baginda lalu duduk bersila di majlisnya (tempat duduknya) sampai matahari terbit . ( HR Muslim dan Abu Dawud dll )

Pada salah satu riwayat Ibnu Khuzaimah disebutkan : Baginda duduk di tempat solatnya sesudah solat Subuh sampai matahari terbit . ( HR Thabrani dan pada salah satu riwayat disebutkan : Lalu baginda berzikir )



MENGIMAMI SOLAT

Dari Ali Al Mishri, ia berkata : Kami bermusafir bersama Ubah bin Amir Al Juhalli, lalu datang waktu solat kepada kami, kemudian kami menginginkan supaya dia yang maju, lalu dia berkata : Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “ Barangsiapa mengimami suatu kaum, jika imam itu solatnya sempurna maka ia mendapatkan pahala atas kesempurnaannya dan mereka (makmum) juga mendapatkan pahala atas kesempurnaannya, tetapi jika imam tidak melakukannya dengan sempurna, maka makmum mendapatkan pahala kesempurnaannya sedangkan imamlah yang mendapatkan dosanya .”

( HR Imam Ahmad dan lafaz ini adalah lafaz Imam Ahmad dan juga diriwayatkan oleh Abu Dawud,Ibnu Majah dan disahkan oleh Ibnu Khuzaimah,Ibnu Hiban dan Hakim )



MENEMPATI SAF PERTAMA

Dari Irbadh bin Sariyah : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w biasa memintakan ampun kepada Allah sampai tiga kali bagi orang-orang yang menempati saf terdepan dan saf kedua ia memintakan ampun sekali . ( HR Nasa’i dan Ibnu Majah disahkan oleh Ibnu Khuzaimah Hakim dan Ibnu Hiban tetapi dengan lafaz : adalah beliau mendoakan untuk orang-orang saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua sekali dan pada riwayat Nasa’I disebutkan orang-orang pada saf pertama dua kali . )



MERAPATKAN SAF SOLAT

Dari Aisyah, dari Rasulullah s.a.w , sabdanya “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mendoakan orang-orang yang merapatkan barisan-barisannya dalam solat ,”

( HR Ahmad, Ibnu Majah disahkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hiban dan Hakim )

Ibnu Majah menambahkan : Barangsiapa yang menutup celah dalam solat berjemaah, maka Allah akan mengangkat orang itu satu darjat .



( HR Thabrani di dalam Al Ausath dengan tambahan : dan bagi orang itu akan dibangunkan rumah di dalam syurga. Dan diriwayatkan oleh Ashbahani dengan tambahan seperti itu dari hadith Abi Hurairah. Dan diriwayatkan oleh Al Bazaar dari hadith Abi Juhaifah dengan lafaz : Barangsiapa yang memenuhi celah dalam saf, maka ia diampuni dosanya, sanadnya hasan ).



Dari Bara’ bin Azib ia berkata : Adalah Rasulullah s.a.w mendatangi salah satu sudut saf dan baginda meluruskan antara bahu dan dada orang-orang yang berbaris seraya baginda bersabda “ Janganlah kamu berserakkan kelak hatimu akan berserakan .” Dan baginda bersabda “ Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya mendoakan orang-orang yang menempati saf yang pertama .” ( HR Ibnu Khuzaimah )



Dan Abu Dawud meriwayatkan : Dan tiada langkah yang paling dicintai Allah daripada seseorang yang melangkahkan kakinya untuk mencapai saf yang pertama .”

Dari Mu’az bin Jabal , dari Nabi s.a.w sabdanya “ Ada dua langkah, yang satu lebih dicintai oleh Allah, dan yang lainnya lebih dimurkai oleh Allah. Adapun yang dicintai oleh Allah ialah seseorang yang melihat celah di dalam saf, lalu ia maju untuk memenuhinya, adapun yang dibenci oleh Allah ialah apabila seseorang yang hendak berdiri lalu menjulurkan kaki kanannya dan meletakkan tangannya di atasnya, lalu dia bertekan pada bahagian kiri, kemudian berdiri .”

( HR Hakim dan ia sahkan menurut surah Muslim )



Dari Aisyah, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mendoakan orang-orang yang ada di bahagian kanan saf .”

( HR Abu Dawud dan Ibnu Majah dengan sanad hasan )



MEMBACA AMIN BERSAMA IMAM

Dari Abu Hurairah ra : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda “ Apabila imam membaca gairil magdubi `alaihim waladdallin, maka ucapkanlah amin, kerana barangsiapa yang mengucapkan bertepatan dengan malaikat, ia akan diampuni dosa-dosanyayang telah lalu .” (HR Bukhari Muslim)

Dan lafaz ini ada pada sisi Bukhari dan pada sisinya dikatakan “ Apabila seseorang di antara kamu mengucapkan amin dan malaikat di langit mengucapkan amin, sekiranya yang satu bertepatan dengan yang lain, maka ia akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu .”



Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda “ Apabila imam mengucapkan `sami’allahu liman hamidah, maka katakanlah “rabbana lakal hamdu”( wahai Tuhan kami,bagi-Mulah segala puji ), kerana barangsiapa yang ucapannya itu bertetapan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dari segala dosa-dosanya yang lalu .” ( HR Bukhari Muslim )



Dan dalam salah satu riwayat di sisi mereka disebutkan : ‘walakal hamdu’dengan tambahan ‘wau’



MEMBACA ALLAHU AKBAR KABIIRA

Dari Ibnu Umar, ia berkata : Tatkala kami solat bersama Rasulullah s.a.w , tiba-tiba seseorang di tengah kaum itu berkata ‘Allahu Akbar kabira walhamdulillahi katsira, wa subhanallahi bukhrataw wa asilaa ( Allah Maha Agung, segala puji yang begitu banyak milik Allah dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang ) lalu Rasulullah s.a.w bersabda “ Siapakah yang mengatakan kalimat ini dan itu tadi ?”. Lalu seseorang yang ada di tengah kaum itu berdiri : Saya wahai Rasulullah . Lalu baginda bersabda “ Aku sangat menyenanginya, kerana kata-kata itu telah dibukakan pintu-pintu langit .” Kemudian Ibnu Umar berkata : Aku tidak pernah meninggalkan kata-kata tersebut, sejak aku mendengar kata-kata itu dari Rasulullah s.a.w

( HR Muslim )



RUKUK DAN SUJUD DENGAN BENAR

Dari Abi Mas’ud al Badri, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Tidaklah sempurna solat seseorang sebelum menegakkan tulang-tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud .”

( HR Ahmad dan Nasa’I dan Abu Dawud )



Dan lafaz ini ada pada sisi Abu Dawud, disahkan oleh Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah, Dari Ibnu Hiban dan Daruquthni .

Dari Abu Hurairah, ia berkata Rasulullah s.a.w bersabda “ Solat itu ada tiga macam bahagian , bersuci adalah sepertiga bahagian, rukuk sepertiga bahagian, dan sujud sepertiga bahagian. Barangsiapa melaksanakan dengan semestinya, maka akan diterimalah solat itu dari dirinya dan diterima pula dari dirinya semua amal kebaikan. Barangsiapa ditolak solatnya, maka akan ditolak pulalah seluruh kebaikan .” ( HR Al Bazaar )

No comments:

Post a Comment