Saturday, May 22, 2010
kuantiti ibadah
Saudara Pengkaji seterusnya berkata: “Dimulai pada masa tabi’en sebahagian dari ahli ibadah Basrah mulai berlebihan dalam beribadah, zuhud dan wara’ terhadap dunia (dengan cara yang belum pernah dicontohkan oleh Rasulullah salallahulaihiwasalam, sehingga disebutkan antara sifat mereka ialah suka memilih untuk mengenakan pakaian yang terbuat dari bulu domba (Shuuf). Kemudian dari kerana terkenalnya mereka dengan pemakaian sebegitu maka disebut sebagai asal usul mula digelar sufi dan bermacam-macam lagi cerita mengenai asal usul mereka.”
Subhanallah. Si pengkaji cuba membawa satu idea di mana, di zaman tabi’en lagi, sudah ada di kalangan mereka yang beribadah dengan cara yang belum pernah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti dalam perkataan beliau: “Dimulai pada masa tabi’en sebahagian dari ahli ibadah Basrah mulai berlebihan dalam beribadah, zuhud dan wara’ terhadap dunia (dengan cara yang belum pernah dicontohkan oleh Rasulullah salallahulaihiwasalam”.
Kalaulah, istilah “beribadah dengan cara yang belum pernah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w.” menurut beliau, merujuk kepada bid’ah dholalah, maka beliau cuba menggambarkan bahawa, pada masa tabi’en (yang termasuk dalam golongan salafus soleh) lagi, sudah berlakunya perbuatan-perbuatan bid’ah.
Adapun perkataan beliau: “berlebih-lebihan dalam beribadah” takkala merujuk kepada amalan sesetengah ahli zuhud dan wara’ terhadap dunia, lantaran itu mengulas dengan katanya: “(dengan cara yang belum pernah dicontohkan oleh Rasulullah salallahulaihiwasalam), maka, persoalannya, benarkah tidak ada contoh di mana Rasulullah s.a.w. berlebih-lebihan dalam beribadah?”
Persoalan yang lebih penting ialah, mampukah seseorang manusia beribadah melebihi ibadah Rasulullah s.a.w.?
Bagaimanakah dengan hadis yang meriwayatkan tentang solat tahajud Baginda s.a.w., sehingga bengkak kaki Baginda s.a.w.-yang mulia- tersebut, sedangkan Baginda s.a.w. sudah dijamin sebagai penghulu ahli syurga?
Kalaulah Baginda s.a.w. sebagai penghulu ahli syurga pun, menunaikan solat tahajjud sehingga bengkak kaki Baginda s.a.w., adakah ianya tidak dinamakan “berlebih-lebihan”? Siapakah yang sanggup menuduh ibadah Rasulullah s.a.w. merupakan suatu yang berlebih-lebihan, takkala Baginda s.a.w. solat tahajjud sehingga bengkak kaki Baginda s.a.w., sedangkan Baginda s.a.w. sudah dijamin sebagai ahli syurga, bahkan sebagai penghulu ahli syurga?
Kalaulah seorang manusia yang sudah dijamin sebagai ahli syurga sekalipun, sanggup menunaikan solat sehingga bengkak kakinya, semata-mata sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t., takkanlah manusia lain yang masih belum terjamin hala tujunya, entah ke syurga atau ke neraka, tidak boleh melakukan amalan “berlebih-lebihan” sebagai tanda takut dan syukur kepada Allah s.w.t.?
Kalaulah ada orang yang sanggup meletakkan perkataan “berlebih-lebihan” dalam ibadah, bererti dia mengajukan perkataan tersebut pertamanya, kepada penghulu ahli syurga, secara tidak langsung, kerana Baginda s.a.w. yang sudah dijamin sebagai ahli syurga sekalipun, mendirikan solat sehingga bengkak kakinya. Adakah benggak kaki dengan beribadah adalah berlebih-lebihan? Kalau begitu, berbahagialah mereka yang “berlebih-lebihan dalam beribadah”, kerana mereka sebenarnya mencontohi kefahaman Rasulullah s.a.w. mengenai sifat kerendahan diri seseorang hamba Allah s.w.t. di hadrah Ilahi s.w.t., dengan bersungguh-sungguh dalam beribadah sehingga sakit bengkak kakinya Baginda s.a.w..
Bagi orang-orang yang menuduh golongan yang beribadah dengan tekun kepada Allah s.w.t. sebagai golongan berlebih-lebihan, cukuplah jawapan Rasulullah s.a.w. ke atas mereka: “Tidak bolehkah Aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Ketahuilah bahawa, tiada satupun amalan seseorang insan yang tidak dijamin sebagai ahli syurga lagi, biarpun sehingga tercabut kakinya sekalipun, yang mampu melebihi amalan seseorang yang telah dijamin sebagai penghulu ahli syurga, namun masih lagi beribadah sehingga bengkak kakinya.
Maka, kesimpulannya, tiada lagi istilah berlebih-lebihan dalam beribadah sesudah jelas, Rasulullah s.a.w yang sudahpun layak menjadi ketua para solihin sekalipun, masih beribadah sehingga bengkak kaki Baginda s.a.w..
Jelaslah kepada kita bahawa, tiada seseorangpun mampu mengamalkan sesuatu ibadah “melebihi” ibadah Rasulullah s.a.w., kerana biar setinggimanapun ibadah seseorang, dia masih lagi tidak terjamin masuk syurga, dan secara logiknya, sememangnya dia patut tekun dalam beribadah kerana takutkan Allah s.w.t. dan neraka, berbanding Rasulullah s.a.w. yang sudah dijamin sebagai penghulu ahli syurga sekalipun, masih beribadah sehingga bengkak kakinya.
Oleh itu, sesiapa yang mendakwa, ada seseorang yang berlebih-lebihan dalam beribadah, sedangkan ibadahnya masih lagi di bawah tahap ibadah Rasulullah s.a.w., maka dia seolah-olah mendakwa Rasulullah s.a.w. juga sebagai seorang yang berlebih-lebihan dalam beribadah, kerana Rasulullah s.a.w. lebih tinggi tahap ibadahnya berbanding orang yang dituduh berlebihan dalam beribadah tersebut.
Kalaulah istilah “ibadah tanpa contoh dari Rasulullah s.a.w.” merujuk kepada amalan-amalan ibadah bid’ah yang tiada asalnya dari sumber syariat Islam, maka ianya (amalan-amalan tersebut) memang tertolak. Tetapi, kabanyakkan golongan tabi’en yang zuhud dan wara’ tidak pernah mengada-adakan sesuatu bentuk amalan ibadah yang baru. Mereka sekadar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang ada sandarannya dalam Islam, seperti solat sunat, puasa sunat dan sebagainya, dan ianya tidak pernah dilarang oleh Rasulullah s.a.w., biarpun Baginda s.a.w. tidak pernah melakukannya dalam jumlah yang banyak seperti sebahagian ahli ibadah di zaman tersebut.
Bagi mereka yang menganggap sesetengah amalan mereka yang tekun dalam beribadah, tidak mengikut contoh Baginda s.a.w. dalam beribadah, hanya semata-mata tidak jumpa dalil secara harfi (spesfik) tentang perbuatan tersebut, tidak cukupkah perbuatan Rasulullah s.a.w. yang mengerjakan solat sehingga bengkak kakinya menjadi contoh keharusan bersungguh-sungguh dalam beribadah?
Tanyalah diri sendiri, yang mengaku untuk mengikuti huruf demi huruf, perbuatan Rasulullah s.a.w., adakah anda solat sehingga bengkak kaki di waktu malam? Kalau anda tidak mampu mengikuti sunnah Baginda s.a.w. takkala solat malam sehingga bengkak kaki, maka janganlah sewenang-wenangnya menyalahkan mereka yang telahpun menikmati kemanisan iman dalam beribadah, takkala mereka tekun dalam beribadah. Selagimana sesuatu ibadah itu, pada asalnya ada dalam syariat Islam (seperti solat dan puasa sunat), biar sebanyakmanapun bilangan dan bentuk pengamalannya, selagi ianya tidak melanggar waktu-waktu keharamannya, (seperti lepas Asar, haram menunaikan solat Sunat dll.) maka ianya tetap tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Adapun ibadah-ibadah baru yang tidak pernah ada contohnya (secara umumnya) dalam sandaran sumber Islam, maka ianya tertolak, bahkan kebanyakkan para zuhud di kalangan tabi’en dan seterusnya juga menolak keras amalan-amalan baru (bid’ah dholalah) tersebut.
Di antara persoalan yang dibangkitkan juga ialah tentang para zuhud dan warak, yang seolah-olah berlebihan dalam menolak dunia, yang tiada contohnya dari Rasulullah s.a.w..
Ini suatu kekeliruan yang nyata. Carilah dalam buku-buku hadis, dalam buku-buku sirah, di mana Rasulullah s.a.w. pernah diberi pilihan oleh Allah s.w.t., samada untuk hidup kaya seperti seorang raja, ataupun untuk hidup dalam keadaan penuh zuhud, namun Baginda s.a.w. memilih untuk hidup dalam keadaan penuh zuhud, sehingga kadang-kala terpaksa menggadaikan baju besinya untuk secupak gandum.
Adakah wujud satu zuhud (dari kalangan manusia lain) yang lebih besar daripada zuhud Baginda s.a.w. tersebut, takkala menolak harta kekayaan yang percuma, setelah diberi pilihan oleh Allah s.w.t., lantaran itu memilih untuk hidup dalam penuh zuhud? Jelaslah, tiada zuhud dan warak yang mampu melebihi zuhud Rasulullah s.a.w. tersebut. Jadi, tidak timbullah istilah zuhud yang berlebih-lebihan, bagi mereka yang tidak memahami konsep umum mengenai zuhud dalam sunnah tersebut, takkala Baginda s.a.w. yang mashum juga sanggup tolak keduniaan, walaupun duniawi tidak mampu mencemarkan hubungan Baginda s.a.w. dengan Allah s.w.t.. Adakah seseorang manusia biasa yang sememangnya terdedah dengan tipu-daya duniawi, takkala berzuhud dari dunia, mampu mengatasi zuhud Rasulullah s.a.w. yang berzuhud dari perkara yang tidak memnudaratkannya, berbanding manusia lain yang berzuhud dari dunia yang mampu memudaratkan imannya? Fahamilah kedua-dua contoh tersebut.
Apa yang banyak berlaku sekarang, berlumba-lumba mengejar dunia, hatta dengan terpaksa menjual agama. Wahai orang-orang yang ingin mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. secara harfiah, adakah rumah anda sebesar rumah Rasulullah s.a.w., atau lebih besar dari itu. Wajarkah anda menilai, orang yang berzuhud melebihi Rasulullah s.a.w. (pada hakikatnya memang tiada), merupakan suatu kesalahan, tetapi orang yang bermewah-mewahan melebihi Rasulullah s.a.w. tidak merupakan suatu kesalahan? Bahkan, sifat bermewah-mewah inilah amat ditakuti oleh Rasulullah s.a.w., dalam banyak hadis-hadis Baginda s.a.w..
Oleh yang demikian, para ahli zuhud dan wara’ pada zaman tersebut tidak pernah membawa sesuatu ajaran baru, kerana contoh mereka dalam zuhud dan ketekunan dalam beribadah ialah Rasulullah s.a.w., walaupun bentuk dan kuantiti amalannya berbeza, tetapi maknanya sama iaitu zuhud dari dunia dan tekun dalam beribadah, dan tiada sesiapa yang mampu melebihi Rasulullah s.a.w. dari sudut zuhud dan ketekunan dalam ibadah tersebut
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment