Monday, May 17, 2010
nabi idris a.s (2)
NABI Idris adalah seorang yang tekun dan kuat beribadat. Ketekunannya menyebabkan baginda amat dikasihi oleh Allah s.w.t. dan dikagumi para malaikat. Sebagai balasan, Nabi Idris dianugerahkan Allah dengan kebolehan melihat alam ghaib bahkan dapat hidup di dalamnya. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan Nabi Idris di langit keempat iaitu ketika dalam perjalanan Baginda hendak bertemu dengan Allah s.w.t.
Nabi Idris juga merupakan orang pertama yang menulis dengan pena, penunggang kuda yang handal, pakar astronomi dan matematik serta pandai menjahit ketika manusia di zamannya hanya tahu memakai pakaian daripada kulit binatang.
Segala amalannya mendapat perhatian para malaikat. Antara malaikat yang gemar memerhati amalan Nabi Idris ialah Kiraman Katibin iaitu malaikat pencatat amalan manusia dan Izrail, malaikat yang bertugas mencabut nyawa atau dikenali juga malaikat maut.
Izrail amat tertarik melihat ibadat Nabi Idris kerana lebih bercahaya berbanding dengan yang lain. Kerana itu, Izrail berdoa kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan bersahabat dengan Nabi Idris seperti manusia biasa. Allah telah memperkenankan doa Izrail itu.
Maka pergilah Izrail bertemu dengan Nabi Idris dan menyamar sebagai manusia. Mereka berkenalan dan menjadi sahabat karib. Mereka selalu berjalan dan beribadat bersama-sama tanpa Nabi Idris menyedari bahawa sahabat-sahabat itu adalah malaikat.
Sepanjang perjalanan, Izrail cuba menguji keimanan Nabi Idris supaya memakan makanan yang haram. Nabi Idris enggan dan berkata: “Selama ini aku tidak pernah menjamah benda yang haram dan aku tidak akan makan makanan yang haram untuk selama-lamanya.”
Rahsia Izrail terbongkar apabila Nabi Idris menyedari bahawa sahabatnya itu tidak pernah makan meskipun telah masuk waktu berbuka puasa dan tidak pernah tidur walaupun letih. Setelah ditanya, barulah Nabi Idris mengetahui bahawa sahabatnya itu adalah malaikat.
Menggeletarlah Nabi Idris memikirkan ajalnya apabila mengetahui di hadapannya itu adalah malaikat maut. Namun Izrail memberitahu tujuannya yang sebenar hanya untuk bersahabat dengan Nabi Idris.
Nabi Idris tidak melepaskan peluang untuk bertanya tentang keadaan ghaib seperti mati, neraka, syurga bahkan beliau berhasrat untuk merasainya. Dengan izin Allah s.w.t., Nabi Idris diberikan rasa nazak menjelang ajalnya sehingga wafat. Kemudian baginda dihidupkan kembali oleh Allah.
Nabi Idris juga dibawa melihat keadaan sebenar di dalam neraka. Baru beberapa ketika melihat keadaan di neraka yang amat dahsyat itu, Nabi Idris jatuh pengsan.
Setelah sedar daripada pengsan, Nabi Idris dibawa pula melawat ke syurga untuk melihat dan merasai nikmat di dalamnya. Oleh kerana terlalu asyik dengan nikmat syurga, baginda tertidur dengan nyenyak. Kemudian Izrail datang mengejutkan baginda kembali. “Tiba masanya kita kembali ke dunia,” ujar Izrail.
Namun, Nabi Idris enggan kerana terpukau dengan nikmat syurga. “Bukankah sebentar tadi aku telah mati? Biarkan aku tinggal di syurga.”
Maka berlaku perbalahan antara Izrail dengan Nabi Idris. Lalu Allah s.w.t. berfirman, Syurga adalah tempat beristirehat apabila tibanya hari kiamat. Oleh itu, tunggulah kamu di langit keempat.
Lalu Nabi Idris ditempatkan di langit keempat menanti syurganya sehingga baginda wafat di sana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment