Sunday, May 16, 2010
ANTARA AMAN DAN TAKUT
Firman Allah s.w.t dalam hadith qudsi :
“ Aku tidak akan menghimpunkan dua ketakutan pada hambaKu dan tidak pula akan mengumpulkan dua keamanan baginya. Jika ia merasa aman daripadaKu di dalam dunia, Aku akan berikan rasa takut kepadanya pada hari Kiamat. Dan jika ia merasa takut kepadaKu di dunia, Aku akan berikan kepadanya rasa aman pada hari Kiamat .”
( Hadith qudsi riwayat Ibnu Mubarak dan Al-Hasan sebagai hadith Mursal )
Tetapi Abu Na’im meriwayatkan pula dari Syaddad bin `Aus sebagai hadith mausul dengan lafaz sebagai berikut :
“ Jika ia merasa aman daripadaKu di dunia, akan Aku berikan rasa takut pada hari Aku menghimpun hamba-hambaKu. Dan jika ia takut daripadaKu di dunia, ia akan Aku berikan rasa aman pada hari Aku mengumpulkan hamba-hambaKu kelak .”
Sebenarnya hadith ini juga telah disebutkan oleh Imam Jalalluddin as-Suyuthi dalam kitabnya Al-Jami’us Saghir, dengan lafaz yang kedua di atas dan ditunjuknya pada kitab Al-Hilyah. Al-Bazzar Al-Baihaqi juga telah meriwayatkannya dari Abu Hurairah r.a :
“ Allah s.w.t memberitakan kepada kita sesungguhnya Dia tidak akan menghimpunkan bagi hambaNya dua rasa takut dan dua rasa aman (rasa tenteram).”
1. Barang siapa yang merasa takut kepada Allah di dunia ini, Allah tidak akan menimpakan rasa takut kepadanya pada hari Kiamat, bahkan Allah menjaganya dan memeliharanya dari kedahsyatan seksa hari Akhirat dan akan menjauhkannya dari rasa gementar dan terkejut. Orang yang merasa takut kepada Allah, akan selalu tunduk dan taat melakukan peritahNya, menghiasi dirinya dengan segala sifat-sifat keutamaan serta membersihkan dirinya dari segala sifat kekejian dan kecelaan .
2. Barangsiapa merasa aman di dunia ini, Allah tidak akan memberikan rasa aman dan tenteram pada hari Kiamat, malah akan menimpakan rasa takut dan khuatir serta Allah akan menyeksanya sesuai dengan amal perbuatannya .
“ Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang dating mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ( dari syirik dan penyakit munafik ) .”
( Surah Asy-Syu’araa’ : 88-89 )
Orang yang merasa aman di dunia ini akan berjalan di luar garisan yang telah ditentukanNya. Ia merasa aman melakukan maksiat dan menderhaka kepada perintah-perintahNya. Ia sering melanggar laranganNya, sering tertipu oleh dirinya sendiri, kekuatan dan kesihatannya, sering dikelirukan oleh kebendaan yang berada di hadapan matanya. Sering alpa, lalai, dan tidak sedar. Sekurang-kurangnya ada sepuluh saksi yang sentiasa menyaksikan dang mengikuti gerak gerinya, iaitu : telinga pendengarannya, mata penglihatannya, lidah, tangan, kaki, hati, bumi yang dipijak, malam dan siang, dan para malaikat Raqib ‘Atid dan Hafadhatul Kiram. Ia sering mengikuti ajakan syaitan yang terkutuk, oleh kerana itu, ia sering berpoya-poya dan bersenang-senang dengan segala kelazatan dan syahwat. Ia selalu berkeinginan untuk memuaskan hawa nafsunya.
Adalah suatu perkara yang tidak perlu diragukan lagi bahawa semakin meningkatnya rasa takut seseorang hamba kepada Allah s.w.t di dunia ini, akan meningkatlah usahanya menjauhkan diri dari melakukan kederhakaan, keburukan dan kejahatan menurut akal, adab dan syarak. Dan sebaliknya makin menipis rasa takut, semakin menipis pula imannya, dan meningkatlah keberaniannya untuk berbuat kederhakaan dan bertambah luas pula bidang kejahatan dan kebinasaan yang dilakukannya.
Tegasnya barangsiapa yang kuat rasa takutnya kepada Allah di dalam dunia, maka ia akan merasa aman dan tenteram pada hari Kiamat, dan begitulah sebaliknya.
Kiranya, inilah yang dimaksudkan ucapan sebahagian ahli makrifat :
“ Apabila seseorang telah dapat menahan diri sehingga merasai panasnya (terseksa) melawan hawa nafsu di dunia, dia akan diselamatkan oleh Allah s.w.t dari kedasyatan panas di hari kemudian .”
Berkata Imam Qurtubi :
“ Barangsiapa yang merasa malu kepada Allah s.w.t dari apa yang dilakukannya Allah enggan mendakwanya pada hari Kiamat. Dan Allah tidak menghimpun baginya dua rasa malu sebagaimana Dia tidak akan mengumpulkan baginya dua rasa takut .”
Berkata pula sebahagian ulama :
Rasa takut itu ada dua : Rasa takut terhadap seksaan dan rasa takut dengan kehebatan (jalal). Yang pertama dapat dirasakan oleh ahli zahir, iaitu orang-orang yang baru dapat merasakan zahir sahaja (orang awam; kaum muslimin yang hanya mengetahui sesuatu yang material, para ulama yang belum begitu dalam makrifatnya). Dan yang kedua, dapat dirasakan oleh ahlul Qulub (orang-orang yang mengutamakan kebersihan batin/hati) yang meningkatkan amalan untuk mendekatkan diri (bertaqarrub) kepada Allah s.w.t seperti Khulafur Rasyidin di kalangan para sahabat, Uwais al-Qarani di kalangan tabi’in, syaiban ar-Ra’i di kalangan tabi’ tabi’in dan Abdul Qasim al-Junaidi, Abu Yazid al-Busthami, Ma’ruf al-Karkhi, al-Jailani, an-Nawawi, Abdullah bin Alawi al-Hadaad dan lain-lain (dikenali sebagai ahlul makrifah atau al-Arifin )
Yang pertama (rasa takut terhadap seksaan) hanya sementara san akan hilang, sedangkan yang kedua ( rasa takut kehebatan wibawa/jalaj ) kekal dan tidak boleh hilang .
Bila kita kembali meneliti isi al-Quran yang mulia, maka kita akan menemui banyak ayat-ayat yang isinya sama atau hamper sama dengan maksud hadith qudsi di atas . Misalnya ayat-ayat sebagai berikut :
“ Ketahuilah ! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan ( dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. ( Wali-wali Allah itu ialah ) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagian yang mengembirakan di dunia dan di akhirat, tidak ada ( sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar ) .”
( Surah Yunus : 62-64 )
“ Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : “Tuhan kami ialah Allah.” Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa ( dengan memberi ilham ) : “ Janganlah kamu bimbang ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu ) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu .” kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya . “(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu ) sebagai sambutan penghormatan dari Allah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani !”
( Surah Fussilat : 30-32 )
“ …… maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan ( dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”
( Surah Al- Baqarah : 38 )
“ ( Apa yangkamu katakana itu tidaklah benar ) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah ( mematuhi perintahNya ) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”
( Surah Al-Baqarah : 112 )
“ …… sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah ( dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w ) dan ( beriman kepada ) hari akhirat serta beramal saleh, maka tidaklah ada kebimbangan ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”
( Surah Al-Maaidah : 69 )
Pada asasnya ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa seorang manusia, apabila merasa takut kepada Tuhannya ketiak ia hidup di dunia, dan sangat berhati-hati untuk tidak melibatkan ditinya dalam kejahatan, kederhakaan dan maksiat, mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan aman, tenteram, tidak merasa takut mahupun cemas, malah ia akan mendapat kejayaan dan kemenangan rahmat Allah serta keredhaanNya.
Marilah kita panjatkan doa, memohon ke hadratNya agar Dia menghiasi hati dan batin kita dengan rasa takut dan rasa dengan kehebatan dan wibawaNya. Sebaliknya kita mohon agar Dia menjauhkan kita dari rasa takut dan kegelisahan jiwa pada hari pertemuan denganNya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment